Kematian James Horner: 8 fakta tentang 'My Heart Will Go On'
Madiha Abdullah
Jun 23, 2015 21:32 MYT
Jun 23, 2015 21:32 MYT
PEMERGIAN komposer lagu My Heart Will Go On, James Horner dalam nahas pesawat hari ini merupakan satu kehilangan besar bagi industri muzik antarabangsa. Pembabitannya dalam penciptaan lagu tersebut meletakkan nama Horner sebagai antara ahli muzik berkelas A. Malah, sehingga ke hari ini, My Heart Will Go On kekal sebagai antara lagu paling popular di dunia.
Selain lagu tema filem Titanic itu, Horner dikenali sebagai music genius di sebalik penghasilan banyak lagu tema dan skor muzik untuk filem blockbuster seperti Avatar, Braveheart dan Star Trek.
Namun memandangkan My Heart Will Go On merupakan hasil karya beliau yang paling berjaya, mari kita lihat 10 fakta tentang lagu ini yang mungkin anda tidak tahu.
1. Pengarah Titanic, James Cameron pada awalnya tidak mahu sebarang lagu tema untuk filem tersebut. Dia bagaimanapun menukar fikiran selepas mendengar demo lagu itu yang disifatkannya sebagai 'berhantu'.
2. Penyanyi lagu tersebut, Celine Dion, agak keberatan untuk menyanyikan lagu tersebut pada mulanya kerana kata Dion, "Saya tak rasa lagu itu menarik ketika kali pertama mendengarnya".
3. Percaya atau tidak, versi yang anda dengar hari ini (versi yang diterbitkan) adalah versi demo. Ia merupakan satu-satunya rakaman dengan suara Celine Dion di dalamnya. Ini membuktikan betapa hebatnya Dion sebagai seorang penyanyi.
4. Heroin Titanic, Kate Winslet, sangat tidak sukakan lagu itu. Winslet, dalam satu temubual pada tahun 2012, memberitahu dia rasa mual setiap kali mendengar lagu tersebut.
5. Lagu tersebut menang hampir semua anugerah muzik di mana ia dipertandingkan. Antaranya Lagu Tema Terbaik (Anugerah Akademi) dan Lagu Terbaik (Anugerah Grammy).
6. Dengan hasil jualan mencecah 15 juta unit, My Heart Will Go On merupakan single paling berjaya pada tahun 1998, dan berada di tempat kesepuluh dalam senarai 100 single paling berjaya di dunia sepanjang zaman.
7. Kejayaan luar biasa lagu tersebut antara penyebab yang membuatkan Celine Dion yakin untuk berehat seketika dari dunia nyanyian dan memulakan keluarga.
8. My Heart Will Go On menjadi perintis kepada kelahiran banyak lagu tema filem bersifat 'big song', antaranya I Don't Wanna Miss a Thing (Armageddon) dan There You'll Be (Pearl Harbor).