Keluarga pernah halang Kajol kahwin dengan Ajay
Sinar Harian
Oktober 24, 2018 10:16 MYT
Oktober 24, 2018 10:16 MYT
SELAIN terkenal dengan filem yang menarik, Bollywood juga terkenal dengan perkahwinan pasangan sesama artis. Antaranya, Rishi Kapoor dan Neetu Singh, Kareena Kapoor dan Saif Ali Khan, dan juga, Kajol dan Ajay Devgn.
Menerusi laporan The Times of India, dalam satu temubual dengan Neha Dhupia di dalam program 'No Filter Neha', Kajol mendedahkan bagaimana keluarganya tidak mahu dia berkahwin dengan aktor Ajay Devgn.
Kajol berkata, ketika dia nekad mendirikan rumah tangga ramai menentang keputusan itu termasuk keluarganya.
“Ayah saya tidak bercakap dengan saya selama seminggu ketika beritahu ingin berkahwin.
“Saya masih ingat lagi kata-katanya iaitu saya masih muda dan kerjaya sedang berkembang mengapa perlu berkahwin secepat ini,” katanya.
Dia menambah bahawa bapanya mempersoalkan keputusannya ketika kerjayanya berkembang dan dia terlalu muda untuk berkahwin tetapi Kajol berkeras untuk berkahwin dengan Ajay.
Bintang bintang berusia 44 tahun itu berkata, dia dan Ajay adalah orang yang sangat berbeza dan itulah sebabnya ramai meragui bagaimana menjadi pasangan.
Menurut Kajol, antara rahsia rumah tangganya masih bertahan sehingga kini adalah kerana anak.
“Hubungan kami masih kekal harmoni kerana bekerja dalam bidang yang sama dan mempunyai dua cahaya mata.
“Kami perlu bertanggungjawab dengan anugerah yang diberikan ini dan perlu membesarkan mereka dengan baik,” katanya.
Kajol dan Ajay mendirikan rumah tangga pada 1999 dan dikurniakan dua zuriat yang diberi nama Nysa serta Yug.