Keluarga penyanyi Saleem minta jangan tular gambarnya di hospital
Bernama
Julai 6, 2017 10:43 MYT
Julai 6, 2017 10:43 MYT
Keluarga penyanyi kumpulan Iklim, A. M. Salim Abdul Majeed, atau lebih dikenali dengan nama Saleem meminta orang ramai, termasuk rakan artis dan media agar tidak menyebarkan gambar penyanyi itu yang sedang menerima rawatan di hospital akibat demam panas.
Anak tiri Saleem yang hanya mahu dikenali sebagai Iera Fakira berkata, penularan gambar bapa tirinya itu di media sosial telah menyebabkan keluarga merasa sedih.
"Memang betul ayah saya dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat demam panas yang berterusan tetapi saya minta tolong jangan sebarkan gambar ayah saya dalam keadaan yang sebegitu. Saya mohon doakan yang terbaik untuk kesihatan ayah saya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata ibunya, Juriah Bachok, amat sedih dengan gambar keadaan ayahnya disebar di alam maya.
Iera berkata keadaan ayah tirinya itu kini lemah akibat demam panas yang berterusan sejak 23 Jun lalu.
"Demam ayah berterusan sejak dua hari sebelum raya dan kami telah bawa ayah untuk mendapatkan rawatan di beberapa buah hospital sebelum ini. Hanya semalam ayah dimasukkan ke HUKM," menurut Iera.
"Keadaan ayah stabil cuma lemah dan kena sentiasa dipantau. Kami sekeluarga buat keputusan untuk tidak dedahkan dulu mengenai penyakit ayah buat masa ini kerana terdapat beberapa teori daripada doktor," katanya lagi.
Iera berkata keluarganya kini sedang menunggu keputusan pemeriksaan kesihatan penyanyi yang popular dengan lagu 'Suci Dalam Debu' itu yang dijangka akan diperoleh pada hujung minggu ini.
-- BERNAMA