Kelahiran dan pemergian bintang ternama Hollywood tanggal 27 Februari
Astro Awani
Februari 26, 2021 03:35 MYT
Februari 26, 2021 03:35 MYT
HARI ini, pada 27 Februari, satu ketika dahulu, dua watak tersohor Hollywood ini hadir mewarnai dunia hiburan dan pergi meninggalkan memori yang terpahat di ingatan selamanya.
Elizabeth Taylor
Bintang filem Hollywood terkenal Elizabeth Taylor dilahirkan hari ini pada tahun 1932 di London, England.
Beliau disanjung kerana kecantikan, gaya hidup penuh glamor selain lakonannya yang mantap.
Elizabeth Taylor mula mengecapi populariti ketika berusia 12 tahun sebagai pelakon kanak-kanak dalam filem "National Velvet" sebelum menjiwai watak lebih dewasa dalam filem "A Place in the Sun" ketika usianya belum pun 20 tahun.
Beliau dicalonkan untuk anugerah Oscar empat tahun berturut-turut dan memenangi anugerah untuk filem "Butterfield 8" dan juga "Who's Afraid of Virginia Woolf".
Taylor merupakan aktres Hollywood pertama yang beroleh AS$1 juta untuk wataknya sebagai "Cleopatra" pada tahun 1963.
Ketika penggambaran filem inilah beliau bertemu dengan bakal suaminya Richard Burton. Mereka berkahwin dan bercerai dua kali.
Sepanjang usianya, Taylor berkahwin sebanyak tujuh kali.
Taylor meninggal dunia pada 23 Mac 2011 pada usia 79 tahun akibat kegagalan jantung.
Leonard Nimoy
Pelakon yang terkenal dengan watak Spock dalam francais filem Star Trek, Leonard Simon Nimoy, meninggal dunia hari ini pada tahun 2015 dusia 83 tahun.
Dilahirkan pada 26 Mac 1931, Nimoy memulakan karier di usia 20-an, dengan mengajar kelas lakonan di Hollywood dan membuat kemunculan dalam filem dan siri televisyen sepanjang tahun 1950-an.
Watak Spock menjadi ikon buatnya setelah menjiwai watak itu untuk filem selama 50 tahun sejak tahun 1964 hinggalah ke persembahan terakhirnya pada 2013.
Selain aktif dalam bidang lakonan, beliau juga seorang pengarah, jurugambar, penulis, penyanyi dan penggubah lagu.
Nimoy turut berlakon dalam siri televisyen "Mission: Impossible" selama dua musim, dan pernah menjadi hos dalam siri dokumentari "In Search of...".
Pada Februari 2014, Nimoy mendedahkan dia didiagnosis dengan penyakit penghalang pulmonari kronis (COPD), keadaan yang disebabkan oleh ketagihan merokok yang telah ditinggalkannya sejak 30 tahun lalu.
Pada 25 Februari 2015, Nimoy ditemukan koma sebelum disahkan meninggal dunia akibat komplikasi COPD pada usia 83 tahun di kediamannya di Bel Air.
Pada tahun 2015, sebuah asteroid dinamakan 4864 Nimoy bagi menghargai jasa mendiang.
Dua dokumentari "For the Love of Spock" (2016) dan "Remembering Leonard Nimoy" (2017) diterbitkan oleh anak-anaknya yang menceritakan tentang kehidupan, karier dan juga penderitaannya.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !