"Kekuatan jantung hanya 27 peratus, saya juga diminta bersedia untuk dialisis" - Ebby Yus
Astro Awani
Februari 25, 2023 18:30 MYT
Februari 25, 2023 18:30 MYT
KUALA LUMPUR: Jauh Ebby Yus merenung masa depan memikirkan kata-kata yang keluar dari mulut doktor yang merawatnya baru-baru ini.
Menurut pelakon komedi itu, sekiranya keadaan memaksa, mahu atau tidak dia perlu menjalani rawatan dialisis berikutan penyakit buah pinggang yang dialaminya.
Bukan itu sahaja, bahkan, luah Ebby juga, doktor turut memaklumkan, keadaan jantungnya juga sangat lemah dengan kekuatan sekitar 27 peratus sahaja.
“Baru-baru ini doktor keluarkan air yang telah memasuki paru-paru dan jantung saya. Justeru, doktor mengingatkan saya kalau keadaan memaksa, dialisis adalah pilihan terakhir yang perlu dibuat… begitu juga dengan jantung saya hanya ada kekuatan 27 peratus sahaja,” kata Ebby kepada Astro AWANI ketika dihubungi, hari ini.
Ebby atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid, 58, dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini selama seminggu kerana keadaan kesihatannya yang menurun.
Selain masalah jantung dan buah pinggang, Ebby juga dikesan mempunyai masalah saraf dan prostat.
Justeru, sepanjang seminggu di HKL, ada beberapa hari Ebby dipantau di unit rawatan rapi (ICU) hospital itu.
“Sebelum masuk HKL, tubuh saya terlalu lemah sehingga tidak mampu berjalan dan saya juga sesak nafas sehingga terpaksa meminta kawan segera menghantar saya ke HKL.
“Selama di HKL, doktor tebuk keluarkan air dan saya dirawat dalam ICU,” katanya berkongsi cerita.
Sejujurnya, Ebby atau nama sebenarnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, tahap kesihatannya tidak seperti orang normal lantaran komplikasi yang dihadapinya memerlukan rawatan dan pemerhatian berterusan.
Sekalipun diuji dengan dugaan kesihatan, namun, tidak sedikitpun kedengaran keluhan dari mulut seniman berusia 58 tahun itu.
Sebaliknya, Ebby tidak jemu-jemu memanjatkan kesyukuran pada Allah kerana masih memberi peluang kepada dia untuk menjalani hidup yang baik selain rezeki yang tidak putus buatnya.
“Saya bersyukur kerana masih ada kerja lakonan yang ditawarkan kepada saya. Ada sahaja undangan berlakon komedi yang saya terima… tapi terbatas untuk penggambaran dalam studio sahaja, kalau di luar studio maaf saya tidak dapat menerimanya kerana keadaan kesihatan saya,” ujar Ebby lagi.
Tidak hanya tenang menjawab pertanyaan Astro AWANI mengenai tahap kesihatannya, bahkan, Ebby juga kedengaran sangat ceria.
Kata Ebby, masalah kesihatan yang dihadapinya bukan halangan untuk dia terus ceria selain sentiasa mengingatkan diri agar sentiasa positif.
“Ada banyak hikmah yang mungkin kita tidak sedar, jadi elok sangat kita ceria dan sentiasa positif,” ujarnya lagi.