Kejutan Yngwie Malmsteen dalam konsert sulung di Kuala Lumpur
Soffian Zainuddin
September 30, 2018 17:34 MYT
September 30, 2018 17:34 MYT
BUKAN calang-calang, dan Yngwie Malmsteen membuktikannya dengan persembahan penuh bertenaga dalam konsert sempena jelajah World on Fire 2018 di ibu kota malam tadi.
Bertempat di Menara PGRM, Cheras, gitaris tersohor era 80-an kelahiran Sweden yang sinonim dengan teknik 'shredder' ini muncul buat julung kalinya di pentas Malaysia.
Yngwie Malmsteen (sebutannya "ING-vay"), 55, atau nama sebenarnya Lars Johan Yngve Lannerbäck tampil dengan gitar signature Fender Stratocaster di atas pentas dan pantas mengotakan janji untuk memberikan yang terbaik kepada peminat.
Sedari awal konsert yang bermula sekitar jam 9 malam, apabila lagu Rising Force dimainkan, peminat sudah boleh menjangkakan persembahan bertenaga daripada maestro gitar yang dikagumi di seluruh dunia ini.
Digandingkan dengan kehebatan sistem audio yang dikuasakan oleh 40 amplifier Marshall, bunyi yang dihasilkan cukup mantap dan menggegarkan. Dan itu hanyalah untuk gitarnya sahaja.
Malmsteen menggunakan ruang persembahan hampir sepenuhnya untuk lagu-lagu ala orkestra. Bukan sesuatu yang menghairankan kerana awal pembabitannya dalam muzik dipengaruhi irama daripada penggubah klasik seperti Bach, Paganini dan Vivaldi.
Hasil gabungan irama gitar elektrik dengan karya melodi muzik klasik baroque inilah yang menjadi resipi kejayaan beliau selama ini.
Persembahan gaya muzik neo-klasik dalam irama heavy metal digabungkan dengan kepantasannya bermain gitar menjadikan Malmsteen gitaris yang unik.
Tidak hairanlah apabila konsertnya dibanjiri ribuan peminat termasuk gitaris ternama negara seperti Man Keedal, Joe Burnmark dan Rody Kristal yang tidak mahu melepaskan peluang melihatnya beraksi.
Namun, agak mengecewakan apabila tidak banyak lagu daripada album popularnya seperti Odyssey dan Trilogy yang ditonjolkan. Jelas yang beliau mengutamakan persembahan instrumental dan kemahiran shredding yang menjadi trademarknya.
Ramai ternanti lagu-lagu daripada album Odyssey yang melonjakkan nama gitaris ini di awal kemunculannya seperti Heaven Tonight, Deja Vu dan Dreaming (Tell Me), namun hampa.
Mujur masih ada beberapa lagu daripada album Trilogy diperdengarkan, antaranya You Don’t Remember, I’ll Never Forget dan Trilogy Suite Op: 5.
Walaupun sudah di usia 50-an, Malmsteen masih lincah di pentas, malah kekal menggayakan aksi signaturenya seperti memusingkan gitar di badan, gaya menendang, serta half side split.
Ribuan penonton yang memenuhi ruang Dewan Wawasan seakan tidak berganjak hingga ke akhir persembahan.
Barisan hadapan Rock Zone padat, apatah lagi apabila sekali sekala ‘dihujani’ plectrum atau guitar pick yang dipetik Malmsteen ke arah penonton.
Malmsteen menghidangkan lebih 20 lagu sepanjang 90 minit persembahan. Lagu lain yang dipersembahkan termasuk Black Star, Far Beyond the Sun, World On Fire dan lagu terakhir I'll See the Light Tonight.
Bagi yang telah lama tidak mengikuti perkembangan gitaris legenda ini, Malmsteen tidak lagi menggunakan khidmat penyanyi utama. Sebaliknya, beliau lebih senang untuk menyanyikan lagunya sendiri atau bantuan penyanyi latar sahaja.
Pada konsert malam tadi, Malmsteen menyumbang suara dalam lagu Like an Angel, World on Fire dan Now Your Ships are Burned. Selebihnya dinyanyikan oleh pemain keyboard.
Ketiadaan Jeff Scott Soto, Joe Lynn Turner atau Mark Boals amat dirasai apatah lagi apabila lagu Rising Force dan You Don't Remember I'll Never Forget berkumandang.
Sepanjang konsert, hanya Malmsteen yang berada di tengah pentas, manakala ahli kugiran lain ditempatkan di sudut kiri. Mungkin beliau tidak mahu lagi berkongsi limelight sepertimana dahulu.
Ahli kumpulan yang dikenali sebagai Rising Force itu terdiri daripada Ralph Ciavolino (bass), Nick Marino (keyboard, penyanyi) dan Mark Ellis (dram).
Seperkara yang dimaklumkan kepada media, beliau tidak menjalani sebarang rehearsal sebelum konsert. Malah, difahamkan kru harus pantas mengadaptasi kerana beliau juga dikatakan boleh menukar lagu pada saat akhir.
Malmsteen juga tidak berkompromi dengan kualiti audio; dia sendiri akan memastikan setiap perincian sebelum malah semasa konsert berlangsung.
Seorang yang perfectionist, proses sound check pra-konsertnya saja dikhabarkan mengambil masa empat jam, hinggakan kabel yang bengkok pun dimintanya untuk diluruskan.
Kehebatan Malmsteen bermain gitar dengan menggabungkan elemen muzik klasik dengan kelajuan dan kelantangan muzik ‘heavy metal’ menjadikan beliau antara pujaan peminat rock pada era 80-an.
Album sulung instrumental ‘Rising Force’ yang diterbitkan pada tahun 1984 berjaya memenangi anugerah Album Rock Terbaik oleh Majalah Guitar Player.
Ia turut mendapat pencalonan anugerah Grammy bagi 'Persembahan Rock Instrumental Terbaik’, dan berada di tangga ke-60 dalam carta album Billboard.
Pada 2009, majalah Time mengiktiraf Malmsteen antara 10 pemain gitar terbaik dunia sepanjang zaman, sebaris dengan legenda seperti Jimi Hendrix, Slash dan Prince.
Konsert Yngwie Malmsteen Live In Malaysia malam tadi dianjurkan RSPP Media dengan kerjasama Panggung Asia.
Konsert yang dipromosikan Lampuneon Entertainment ini juga satu-satunya di Asia Tenggara dalam siri jelajah World on Fire.
Konsert Malmsteen berikutnya adalah di Shanghai dan Beijing pada 2 hingga 5 Oktober ini.
#Fender Stratocaster
#Joe Burnmark
#Lars Johan Yngve Lannerback
#Man Kidal
#Marshall
#Menara PGRM
#Rody Kristal
#Sweden
#World On Fire
#Yngwie Malmsteen