Kejutan bagi peminat Rajinikanth Sabtu ini
Bernama
Januari 3, 2018 04:50 MYT
Januari 3, 2018 04:50 MYT
Kemunculan bintang filem terkenal India, Rajinikanth pada Sabtu ini di program Natchathira Vizha 2018 yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini dijangka akan membawa beberapa kejutan berkaitan filem terbarunya "Robo 2.0."
Bendahari Persatuan Artis India Selatan (SIAA), Karthi Sivakumar, yang tidak mahu mendedahkan apakah yang dimaksudkannya dengan kejutan tersebut hanya berkata:
"Kejutan tersebut berkaitan filem 'Robo 2.0' yang menampilkan Superstar Rajinikanth, selain banyak lagi kejutan lain menanti rakyat Malaysia dalam acara tersebut."
Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan dengan program Natchathira Vizha 2018 yang merupakan sebuah pesta hiburan melibatkan 300 artis India dan Malaysia, termasuk Rajinikanth dan Kamal Haasan.
Pesta itu yang menghimpunkan lebih 30,000 penonton, akan bermula pada jam 10 pagi hingga 10 malam, dan ia bukan sahaja mengetengahkan acara hiburan tetapi juga perlawanan kriket dan bola sepak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah antara tetamu kehormat yang dijangka hadir pada acara yang dianjurkan oleh SIAA dengan kerjasama MyEvents International serta dengan sokongan Malaysia Major Events, anak syarikat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyEvents International, Shahul Hameed Dawood berkata sebanyak 30,000 tiket yang berharga serendah antara RM10 dan RM30 telah dijual setakat ini.
Pada sidang media tersebut, Naib Presiden Univeristi Limkokwing, Datuk Tiffanee Marie Lim pula memgumumkan universiti memperuntukan biasiswa berjumlah RM10 juta kepada SIAA atau lebih dikenali sebagai Nadigar Sangam, dan RM2 juta untuk artis tempatan.
"Biasiswa ini bagi mengalakkan anak seni India dan Malaysia menerokai lebih banyak dalam bidang hiburan terutamanya bidang perfileman," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata biasiswa tersebut tidak hanya kepada tertumpu kepada kursus berkaitan perfileman, tetapi terbuka kepada lebih 200 kursus yang ditawarkan di universiti tersebut.
Selain kehadiran pelakon-pelakon terkenal India, acara tersebut akan turut disertai oleh enam pengarah muzik terkenal negara itu iaitu Harris Jayaraj, Anirudh Ravichandran, Srikanth Deva, GV Prakash, Tamman dan Imman serta penyanyi Karthik, Haricharan, Swetha Mohan, Ranjith, Naresh Iyer dan Chinmayee.
-- BERNAMA