Kejayaan Kampung Latah Kena Kuarantin jadi tanda aras inisiatif dana kerajaan - Finas

Astro Awani
September 28, 2021 04:13 MYT
Kampung Latah Kena Kuarantin menjadi pemangkin dan nilai tambah kepada pembangunan karya filem tempatan khususnya dalam aspek pengeluaran, pengedaran dan pemameran, kata Finas.
KUALA LUMPUR: Kejayaan filem komedi Kampung Latah Kena Kuarantin mencatat kutipan RM1 juta menerusi tayangan di platform Astro First dianggap sebagai penanda aras projek penerbitan di bawah inisiatif Dana Program TV/OTT, kata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Finas dalam masa sama turut menyifatkan, pencapaian naskhah arahan Azizi Adnan itu juga berupaya menjadi pemangkin dan nilai tambah kepada pembangunan karya filem tempatan khususnya dalam aspek pengeluaran, pengedaran dan pemameran.
Sebagai agensi yang mengawal selia pembangunan industri filem tanah air, Finas merakamkan ucapan tahniah buat seluruh produksi Kampung Latah Kena Kuarantin di atas kejayaan itu.
“Filem Kampung Latah Kena Kuarantin karya pengarah Azizi Adnan dan penerbit Hazil Izham Ismail diterbitkan menerusi penyaluran dana kerajaan melalui Finas di bawah peruntukan Dana Program TV/OTT FINAS dengan kerjasama Astro.
“Finas berharap agar inisiatif dan kerjasama strategik dengan Astro ini akan terus membuka peluang kepada penerbit untuk menghasilkan karya filem yang berdaya cipta tinggi serta menjana pendapatan melalui pemilikan hak cipta kandungan,” kata Finas dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
BACA: Kampung Latah Kena Kuarantin raih kutipan lebih RM1 juta
Kampung Latah Kena Kuarantin yang ditayangkan menerusi platform Di Pawagam Rumah Anda, Astro First sejak 9 September lalu meraih kutipan melebihi RM1 juta.
Naskhah Kampung Latah Kena Kuarantin merupakan filem pertama yang dihasilkan menerusi ‘Dana Program TV/ OTT’ di bawah program Dana Kandungan Digital (DKD) agihan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
Filem terbitan Megapine arahan Azizi Adnan itu mengetengahkan gelagat melatah sebagai subjek kepada latar cerita serta menghimpunkan selebriti berpengaruh dengan tabiat melatah yang tidak pernah disaksikan dalam mana-mana naskhah sebelum ini.
Kampung Latah Kena Kuarantin menampilkan pelakon utama Azhan Rani, Nazia Mustafar, Ieda Moin, PS Mansur dan Din Latah.
Turut menjayakan filem ini ialah Elisya Sandha, Joey Daud, Bell Ngasri, Ropie, Didie Alias, Azlee Senario dan Wanns Ahmad.
Kampung Latah Kena Kuarantin juga menyaksikan penampilan istimewa bintang-bintang tersohor tanah air seperti Datuk Awie sebagai Dukun Palermo, AR Badul (Tok Ketua), Ustaz Syamsul Debat (Bro Aji), Riezman Khuzaimi (YB Hazil), Roy Azman (Pegawai Perubatan), Achong Sweet Child (Opera Cina) dan Mak Wan Latah (Mak Jenab).
#FINAS #Malaysia #Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia #Dana Program TV OTT #Kampung Latah Kena Kuarantin