Kejayaan Kahar: Kapla High Council terus diraikan

Astro Awani
Disember 18, 2024 13:15 MYT
Wan Zaini (empat dari kanan) dan Azrol (lima dari kiri) bergambar kenangan bersama pelakon-pelakon utama filem Kahar: Kapla High Council serta perunding dan pelanggan-pelanggan mereka selepas tayangan filem berkenaan, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Filem yang mencetus fenomena dalam kalangan penonton, Kahar: Kapla High Council tidak terlepas daripada mencatat kejayaan manis termasuk merekodkan kutipan sebanyak RM11 juta di pawagam.
Pencapaian itu menterjemahkan sokongan berterusan daripada pencinta filem Melayu terhadap naskhah arahan Razaisyam Rashid dan diterbitkan oleh syarikat produksi Astro Shaw.
Menyedari filem tempatan dan kerja-kerja anak seni tanah air wajar diberi sokongan, agensi takaful ternama, Imtiyaz Consultancy Sdn Bhd baru-baru ini meneruskan kesinambungan meraikan Kahar: Kapla High Council di sebuah pawagam di ibu negara.
Bersama-sama dengan agensi rakan strategiknya Alfa Consultancy Sdn Bhd, seramai 133 penonton yang terdiri daripada perunding insurans dan pelanggan-pelanggan diraikan dalam sesi tontonan bersama Kahar: Kapla High Council.
Selain bermatlamat menyokong filem tempatan, objektif utama penganjuran tontonan Kahar: Kapla High Council itu juga adalah untuk meraikan para pelanggan Imtiyaz dan Alfa yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepada kedua-dua agensi berkenaan.
Menurut pengasas dan Pengarah Urusan Imtiyaz Consultancy, Wan Zaini Wan Hassan, pihaknya sangat teruja dengan inisiatif meraikan pelanggan melalui tontonan bersama filem Kahar: Kapla High Council yang kali pertama dianjurkan itu.
Kata Wan Zaini, sebagai syarikat tempatan, Imtiyaz Consultancy sentiasa meletakkan pelanggan sebagai keutamaan dalam dasar menjaga kepentingan pelanggan.
“Dalam masa sama, kami juga sentiasa memastikan sokongan kepada kerja-kerja anak seni tempatan tidak diabaikan.
“Justeru, memilih menonton Kahar: Kapla High Council bersama-sama dengan pelanggan dan perunding kami menepati dasar dan matlamat syarikat.
“Selain menonton filem, inisiatif sebegini juga peluang untuk kami mengeratkan jalinan persahabatan dengan pelanggan-pelanggan kami,” kata Wan Zaini kepada Astro AWANI ketika ditemui pada penghujung majlis tayangan filem Kahar: Kapla High Council.
Filem Kahar: Kapla High Council terus diraikan
Berkongsi pandangan yang sama, pengasas Alfa Consultancy, Azrol Mohamad pula berkata, pihaknya sangat berbesar hati inisiatif menonton filem tempatan itu mendapat sokongan daripada pelanggan-pelanggan setia.
Sekalipun, pelanggan yang berkesempatan menonton bersama Kahar: Kapla High Council hanya kecil jumlahnya, namun, Azrol berpendapat, ia merupakan permulaan yang baik buat Alfa dan Imtiyaz dalam kerjasama strategik itu.
Dalam masa sama, Azrol juga berterima kasih kepada pelakon-pelakon utama filem itu seperti Amir Ahnaf, Aedy Ashraf, Sky Iskandar dan Thompson Goh yang turut hadir pada sesi ramah mesra dengan penonton pada malam itu.
“Seperti yang saya sebutkan, ini merupakan permulaan yang baik dalam usaha meraikan karya-karya tempatan dan pada masa depan, Insya-Allah kami meneruskan inisiatif ini lagi,” jelas Azrol.
Kahar: Kapla High Council terbitan Astro Shaw dengan kerjasama GSC, HM Entertainment dan ZAK Capital mengisahkan perjalanan Kahar, seorang pelajar tingkatan empat di Kolej Ungku Deramat (KUDRAT), sebuah sekolah berasrama penuh.
Kahar seorang pelajar pendiam dan sering menyendiri dibebani harapan oleh bapanya, Datuk Abu Yamin, yang mahu anaknya meraih kecemerlangan dalam akademik.
Bagaimanapun, Kahar tidak berkemampuan mencapai prestasi akademik seperti yang diharapkan bapanya yang juga alumni KUDRAT, menyebabkan tekanan dalam hidupnya.
Dalam satu insiden tidak dijangka mendorong Kahar untuk mencalonkan diri dalam ‘pilihan raya’, sebuah pertandingan antara calon dari setiap rumah asrama KUDRAT untuk merebut gelaran ‘Kapla’, ketua tertinggi High Council dan “pemerintah” tidak rasmi pelajar.
#Kahar Kapla High Council #filem Melayu #Imtiyaz Consultancy #Alfa Consultancy
;