Keith Foo didenda RM100 kerana maki polis trafik
Bernama
Mei 25, 2015 19:20 MYT
Mei 25, 2015 19:20 MYT
Pelakon Keith Foo didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengaib dan menghina anggota polis trafik ketika ditahan dalam satu sekatan jalan raya, Mac lepas.
Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Keith atau nama sebenarnya Foo Chuan Chin, 32, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Mahkamah turut memerintahkan pelakon drama bersiri popular 'Ariana Rose' itu dipenjara 10 hari jika gagal membayar denda.
Tunangnya, Kim Raymond yang hadir menemani pelakon itu membayar denda berkenaan.
Artis yang turut membintangi drama bersiri 'Love You Mr Arrogant' itu didakwa mengeluarkan kata-kata kesat dan kurang sopan terhadap Faizul Amri Md Zan bagi tujuan mengaib dan menghina anggota polis itu.
Dia melakukan kesalahan itu di Jalan Davis, di sini, pada pukul 4.30 pagi, 15 Mac lepas dan didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Menurut fakta kes, Faizul Amri telah menahan kereta Mercedes-Benz yang dipandu Kim, 30, seorang model, dan Kim didapati positif alkohol dengan bacaan 203mg selepas ujian pantas alkohol dijalankan.
Keith yang ketika itu berada di dalam kereta berkenaan telah keluar dan bertindak memaki hamun polis trafik itu dengan kata-kata kesat.
Ketika rayuan, pelakon itu yang tidak diwakili peguam telah memohon maaf dan memberitahu mahkamah bahawa dia menyesali perbuatannya itu dan berjanji tidak akan mengulanginya.
Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira pelakon itu tidak menghormati badan penguatkuasaan dan dia sebagai orang yang dikenali ramai sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada umum.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Nur'Aminahtul turut menegur tindakan Keith sebagai perbuatan yang tidak patut dilakukan dengan mengambil kira polis trafik tersebut hanya menjalankan tugasnya.