"Kebahagiaan kami diuji ketika pandemik" - Afdlin Shauki, Christina Orow umum bercerai
Astro Awani
Julai 23, 2022 15:19 MYT
Julai 23, 2022 15:19 MYT
KUALA LUMPUR: Tiada angin tiada ribut, isteri pelakon Datuk Afdlin Shauki, Datin Maria Christina Orow Abdullah mendedahkan 'mahligai' yang dibina pasangan itu hampir 25 tahun telah runtuh.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Maria memaklumkan hubungan antara kedua-dua mereka mula bermasalah sejak tempoh pandemik sebelum masing-masing membuat keputusan untuk bercerai pada April lalu.
"Kehidupan bahagia kami diuji ketika pandemik COVID-19 yang mencetuskan salah faham sekali gus menjadi punca menjadi punca keretakan rumah tangga.
"Ketika pandemik COVID-19 melanda, kehidupan saya dan Afdlin mula berubah, seakan berlaku salah faham. Meskipun kami cuba untuk mendapatkan kembali kehidupan normal itu, namun tidak berjaya apabila masing-masing mengambil keputusan untuk memilih jalan sendiri,” katanya dalam satu hantaran pada Jumaat.
Maria turut memberitahu, hanya tinggal beberapa bulan untuk pasangan itu untuk menyambut ulang tahun ke-25 perkahwinan mereka.
"Namun saya dan Afdlin membuat keputusan bahawa kami akhirnya mengumumkan bercerai pada April lalu.
“Keputusan dibuat agak pantas, mungkin kerana tidak dapat dielakkan, dan kerana kami melakukannya tidak melihat sebagai seorang musuh atau pengakhiran kepada hubungan kami," katanya.
Maria memberitahu, dia membuat pengumuman itu sekarang kerana sudah memasuki tiga bulan tempoh iddahnya tamat.
“Sebenarnya hidup kami berjalan dengan sempurna, melihat anak-anak membesar menjadi insan yang mula bertanggungjawab terhadap kehidupan masing-masing dan menjadi satu pasukan kreatif mengembangkan syarikat bersama-sama.
"Perpisahan ini berlaku berperingkat apabila kami mulai membuat keputusan secara peribadi, sendiri," katanya.
Selain itu, Maria turut memberitahu tanggungjawabnya bersama Afdlin dalam membesarkan anak-anak masih diteruskan dan perpisahan itu bukanlah penyebab untuk mereka tidak menyokong antara satu sama lain.
“Kami masih ibu dan bapa kepada anak-anak kami, kerana kami selalu percaya kami masih boleh saling menyokong dan menyayangi antara satu sama lain seperti sebuah keluarga normal.
“Suatu masa, pada akhirnya setiap orang akan menjalani kehidupan mereka sendiri dan apa yang kami lakukan ini bukanlah ingin mencerminkan kehidupan mereka, kerana kami masih sentiasa bersama anak-anak kami.
“Perpisahan pada saya bukan satu kemusnahan di dalam hubungan kami, sebaliknya kami masih boleh berkawan baik dalam meneruskan kehidupan peribadi masing-masing.
“Saya tahu Afdlin akan terus menyokong saya sebagai seorang sahabat dan soulmate, begitu juga saya akan menyokong dia dalam kerjayanya kerana kehadiran dia dalam hidup saya adalah suatu makna yang berharga," katanya lagi.
Justeru, Maria berharap orang ramai menghormati keputusan yang diambil mereka.
“Kami berharap bahawa rakan-rakan dan keluarga jangan rasa sedih, dan orang ramai boleh menerima ini sebagai satu kehidupan yang agak normal dan teratur yang dilalui oleh ramai orang.
“Kami meminta keluarga kami dan khususnya privasi anak-anak kita dihormati dan semoga semua selamat, sihat dan bahagia,” jelas Maria.
Pasangan itu bergelar suami dan isteri pada tahun 1997 dan telah dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mia Sara, Anais dan Ileana Matin.
Anak sulung mereka, Mia Sara, turut berkecimpung dalam bidang lakonan dan kini membintangi drama rantaian popular Histeria The Series.