Katy Perry, Orlando Bloom umum bakal dapat anak perempuan
Afiq Ariffin
April 5, 2020 12:30 MYT
April 5, 2020 12:30 MYT
SELEPAS sebulan mengumumkan berita kehamilannya, Katy Perry pada Sabtu menyatakan dia dan tunangnya Orlando Bloom bakal mendapat anak perempuan.
Berita gembira itu diumumkan Perry menerusi muat naik di akaun Instagram.
Muat naik itu memaparkan gambar Bloom yang tersenyum dengan kesan ‘comot’ frosting kek berwarna merah jambu serta kapsyen “Anak perempuan”.
Susulan perkhabaran itu, rakan selebriti Dua Lipa, Rita Ora, dan Rachel Zoe mengucapkan tahniah di ruangan komen.
Sebulan lalu, Perry memberitahu peminatnya di sebuah konsert di Melbourne bahawa dia sangat mengharapkan anak perempuan.
Berita itu turut dikongsikan anak pertama Bloom iaitu Flynn bersama bekas isteri Miranda Kerr.
Terdahulu, Perry mengumumkan kehamilannya itu dalam video muzik terbaharu berjudul “Never Worn White”.
Perry mengenakan sepersalinan gaun berwarna putih dengan menunjukkan perutnya yang jelas membesar.
Malah, dia kemudiannya turut melakukan pengesahan berita itu menerusi siaran langsung serta memberi ‘petunjuk’ kepada peminatnya bahawa dia bakal melancarkan album baharu.
“Ada banyak perkara yang akan berlaku pada musim panas ini.
“Bukan sahaja saya akan melahirkan anak pertama, malah akan ada ‘buah tangan’ yang anda semua nanti-nantikan,” katanya kepada peminat.
Perry telah melancarkan beberapa lagu ‘single’ sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun tidak mengeluarkan album sejak album Witness pada tahun 2017.
Dalam perkembangan lain, rancangan perkahwinan Perry dan Bloom yang dikhabarkan akan diadakan di Jepun terpaksa ditunda kerana penularan pendemik COVID-19.
Pasangan ini telah mengikat tali pertunangan pada 14 Februari 2019, sempena Hari Kekasih, selepas tiga tahun hangat bercinta.