Kasih seorang ibu! Bintang veteran Uji Rashid setia di sisi Cico

Keluarga
Mei 7, 2023 10:30 MYT
Banyak cabaran yang perlu dihadapi Uji bagi menyembuhkan Cico yang mengalami masalah kesihatan. - Foto Instagram/Cico Harahap
KASIH seorang ibu, meskipun sudah dimamah usia namun demi anak, sanggup berkorban apa sahaja.
Itulah situasi yang sesuai digambarkan buat bintang veteran, Uji Rashid yang kini sudah berusia 70 tahun namun setia menjaga anak tersayang yang juga pelakon, Cico Harahap.
Memetik laporan Berita Harian, banyak cabaran yang perlu dihadapi Uji bagi menyembuhkan Cico yang mengalami masalah kesihatan, sejak beberapa tahun lalu.
Biarpun Cico atau nama sebenar, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, 45, beransur pulih, masalah kesihatan yang menjejaskan keupayaan putera kesayangannya itu sejak 2016, cukup merisaukan dirinya sebagai ibu.
“Masalah itu memberi kesan kepada otak, jantung dan vokal Cico. Akibatnya, Cico tidak pandai membaca dan tidak kenal huruf.
“Malah, Cico tidak kenal saya dan anaknya serta tidak boleh bercakap. Ini semua berlaku ketika saya menghadiri pengebumian seorang rakan artis,” dakwanya kepada BH Online.
Uji teringat sekembalinya dari majlis pengebumian bintang legenda itu, beliau mendapati Cico yang sebelum itu menghadiri sambutan hari jadi kenalannya, terbaring di katil.
Berikutan peristiwa hitam itu, Uji mengaku tidak tahu bagaimana hendak berhadapan masyarakat. Disebabkan tidak mahu memberi persepsi buruk terhadap musibah menimpa anaknya itu, Uji lebih selesa mendiamkan diri.
“Bagaimana saya mahu jelaskan kepada orang? Cico ada nama, kalau saya cakap pun, mesti orang ramai akan sangka dia kena buatan orang.
“Lantas orang ingatkan dia ada musuh. Kawan yang dia jumpa pun saya tidak tahu siapa.
“Jadi, saya pilih untuk tidak cakap apa-apa dan biarkan. Saya juga berusaha mencari air penawar untuk Cico, namun tidak juga sembuh.
“Selepas tiga atau empat hari daripada kejadian itu, saya menjerit di dapur dan menangis seorang diri.
“Saya katakan, Ya Tuhan, kalau betul anak ini aku lahirkan, tunjukkan aku sedikit petanda. Kemudian saya teringat ada air zamzam dan saya berikan dia minum dan curahkan di kepalanya.
“Alhamdulillah, selepas minum air zamzam, dia boleh bangun,” katanya yang membuat laporan polis terhadap kes menimpa Cico.
Uji kemudian diduga masalah kewangan selepas membawa Cico menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan di ibu negara.
Sehubungan itu, Uji berikhtiar menghubungi beberapa pihak, termasuk persatuan seni.
Namun, dakwanya, permintaannya tidak mendapat maklum balas baik. Akhirnya, Uji dibantu rakan bagi melangsaikan bil rawatan Cico.
“Alhamdulillah, hasil bantuan kewangan daripada rakan, saya dapat bayar rawatan Cico seperti ujian imbasan X-Ray, ujian imbasan tomografi berkomputer atau CT Scan dan bayaran tinggal di wad.
“Syukur, saya ada kawan-kawan yang membantu dari segi kewangan dan yang memberi saya kekuatan.
“Jujurnya, banyak yang sudah saya lalui. Malah, ada yang dakwa saya sendiri meracun anak. Macam orang gila apabila orang buat kita sampai begitu sekali,” katanya.
Uji memberitahu, beliau turut menerima bantuan rakan industri seperti Ashraf Muslim dan Sharifah Khasif.
“Ashraf Muslim datang melawat Cico dan dia beri beberapa surah untuk Cico hafal. Sharifah Khasif pun tolong. Pusat tahfiz ada bantu merawat masalah Cico.
“Jujurnya, selama lima tahun ini, kami sudah berubat di macam-macam tempat. Kalau ikutkan, Cico masih belum 100 peratus pulih.
“Tetapi apabila kita bercakap dengan dia, Cico boleh dengar, faham dan boleh menjawab. Alhamdulillah,” katanya.
Berikutan itu, Uji mengakui sambutan Aidilfitri sejak Cico sakit, hanya sederhana. Tiada sambutan meriah buat keluarga kecil, namun Uji bersyukur apabila anaknya, Cico beransur pulih.
“Kami hanya raikan dengan apa yang ada, persiapan pun tiada,” katanya
Mula aktif sejak era 1970-an, Uji dikenali sebagai artis versatil dengan bakat lakonan dan suara merdu.
Banyak merakamkan lagu duet bersama Hail Amir dan Datuk DJ Dave.
Filem lakonan seperti Permintaan Terakhir, Menanti Hari Esok, Langit Tidak Selalu Cerah dan Yassin masih dikenang sebagai antara karya terbaik Uji. - Keluarga
#Uji Rashid #Cico Harahap #Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin #masalah kesihatan
;