Karya 'Alir' suarakan hasrat rakyat Kelantan

Wanna Abd Rahim
Januari 22, 2023 18:07 MYT
Arja turut menjayakan pameran After Monsoon dengan membawakan karyanya 'Alir' yang disampaikan dalam bentuk persembahan. - Astro AWANI
TUMPAT: Pensyarah dan pelakon Arja Lee menyuarakan hasrat rakyat Kelantan menerusi hasil karya seninya berjudul Alir.
Menurut Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 39, berkata, dengan terhasilnya karya tersebut, ia membawa mesej jelas daripada rakyat Kelantan dan bukan bertujuan menuding jari kepada sesiapa.
"Sebenarnya, ia tercetus apabila mendengar luahan mereka (rakyat) tentang apa yang mereka mahukan. Bantuan yang bagaimana, dan mereka tidak mahu apa-apa selain bantuan bagi mempercepatkan benteng untuk menghalang banjir berlaku di negeri ini.
"Itulah mesej yang saya nak sampaikan. Jelas di sini ia adalah kehendak rakyat Kelantan supaya benteng dapat dibuat segera. Bukan hanya suka-suka saya terbaring dengan menggunakan kain itu. Ia menunjukkan banjir dan sebagainya.
"Kalau saya orang luar cuba untuk memahami rakyat di negeri ini, kenapa orang Kelantan tak boleh menghargainya sendiri," katanya selepas pameran After Monsoon 01 yang menampilkan karya kolektif enam artis kontemporari Malaysia di sini, pada Sabtu.
Berkongsi berkenaan pameran kontemporari After Monsoon, Arja berkata, kesemua mereka menghasilkan karya yang berkaitan pasca tengkujuh untuk memberi info dan objektif yang sama.
Menurut Arja, karya dan objektif seni yang mahu disampaikan adalah sama, cuma disiplinnya sahaja berbeza.
"Macam saya juga menggunakan elemen Mak Yong kerana seni persembahan itu sinonim dengan masyarakat Tumpat di Kelantan. Saya juga merupakan aktivis Mak Yong saya mengumpulkan semua itu dan terhasilnya Alir.
"Ada yang (menghasilkan karya) dari segi animation, artwork, installation, tapi saya dari segi persembahan. Umum tahu, saya sememangnya bergiat aktif dalam seni persembahan dan ini memang kerja saya. Di bawah Arja Arts Academy kepunyaan saya, saya hasilkan persembahan bertajuk alir bersama anak Tumpat.
"Mereka (anak Tumpat) ni zero tentang seni persembahan. Mereka tidak tahupun tengkujuh itu apa. Mereka hanya tahu ribut, ombak besar, hujan dan banjir... yang lain mereka ni tidak tahu apa tapi selepas persembahan ini, kita tengok dah selama dua minggu, mereka dah boleh dan berani untuk menonjolkan jati diri serta mengenali diri dari yang sebelumnya," jelasnya.
Tambahnya, kebanyakan dari mereka datang ke pameran ini adalah masyarakat sekitar daerah itu. Mereka juga faham maksud tersirat yang ingin disampaikan menerusi pameran ini.
"Maksudnya, mesej yang saya bawa itu berjaya. Menerusi mesej ini Allah SWT telah izinkan ia dialirkan. Kita nampak bahawa mesej itu mengalir jadi itulah sebab judulnya saya pilih 'Alir'. Saya nak semangat itu dialirkan sampailah ke semua pihak. Jadi kalau 'orang atas' ni melihat, dah sampailah masanya buat sikit-sikit dulu perubahan dan kita boleh ikut membantu orang Kelantan kita," katanya.
Menurut Arja lagi, beliau menggunakan seni persembahan menerusi pameran ini kerana ia merupakan satu elemen hiburan.
Ditanya mengenai mengapa memilih untuk membuat pameran di daerah Tumpat, menurut Arja, ia adalah demi memperkenalkan Tumpat kepada mata dunia.
"Itu adalah hajat pengarah pameran After Monsoon, (Azzaha Ibrahim) kerana beliau merupakan anak jati Tumpat. Beliau penyelidik yang indipenden, merupakan seorang artis yang tinggi apresiasinya terhadap seni terutamanya seni yang melibatkan kemelayuan. Sebab itu Tumpat, Kelantan paling tepat dipilih bagi lokasi pameran ini kerana turut melibatkan musim tengkujuh," katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, Arja memberitahu selama tiga tahun berada di negeri itu, beliau banyak melibatkan diri dalam persatuan seperti Kelab Kebajikan Cakna Kelantan, Malaysian Craft Council dan Yayasan Hasanah yang menjadikan beliau sebagai sukarelawan membantu mangsa banjir.
"Melalui pertubuhan yang saya join tu mereka juga ada tabung untuk bantuan mangsa banjir. Saya berniat untuk membuat satu pertubuhan bagi membantu orang mengikut kapasiti saya.
"Orang tanya kenapa saya duduk Kelantan. Saya kata, bila saya berhijrah ke Kelantan macam-macam keindahan yang saya dapat. Bukan sebab Kuala Lumpur tidak cantik atau apa, tapi maksudnya penghijrahan ini dia bawak banyak benda positif. Di sini saya seperti lebih mengenal diri sendiri.
"Menerusi Yayasan Hasanah ini kita dapat membantu bukan untuk saya, tapi untuk anak-anak Kelantan. (Dapat) mendidik anak-anak ini supaya mereka segar. Ia perlu dididik seawal usia agar mereka tidak lupa seni dan budaya... tak lupa jati diri, agama, bangsa dan negara," katanya.
#alir #after monsoon #pameran #pasca tengkujuh #Kelantan #Tumpat
;