Kartunis Tembakau selamat dikebumikan

Astro Awani
Jun 18, 2018 18:52 MYT
Azhar, 46, dimasukkan ke wad rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur selepas mengalami serangan jantung. - Gambar Facebook Azhar Ahmad
Kartunis Azhar Ahmad atau lebih dikenali dengan nama pena Tembakau meninggal dunia pagi ini akibat komplikasi jantung selamat dikebumikan di kampung halamannya di Padang Rengas, Perak petang tadi.
Allahyarham yang terkenal dengan siri komik Kartini pada penghujung 1990an, menghembuskan nafas terakhir jam 10 pagi di Hospital Kuala Lumpur.
Azhar, 46, dimasukkan ke wad rawatan rapi (ICU) hospital tersebut lebih kurang seminggu yang lalu selepas mengalami serangan jantung. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
Kartini pernah disiarkan majalah Ujang pada akhir 1990-an menampilkan ragam sekumpulan pelajar sekolah menengah agama berasrama.
Watak utama, Ariyon atau Muhammad Asri digambarkan sebagai pelajar nakal dan menaruh hati kepada pelajar junior, watak karikatur bertudung, Kartini. Komik Kartini juga beberapa kali diterbitkan dalam bentuk koleksi.
Allahyarham berhasrat untuk memindahkan komik Kartini ke layar perak dan telah mengadakan perbincangan dengan pengarah telemovie Melur vs Rajawali Al Jafree Md Yusop untuk merealisasikan hasratnya itu.
#Ariyon #Azhar Ahmad #ICU #jantung #Kartini #kartunis #komik #Malaysia #Padang Rengas #tembakau
;