Karnival M6 jambatani komuniti e-sukan dengan khalayak umum

Israr Khalid
Disember 14, 2024 15:00 MYT
Karnival hasil kerjasama MOONTON Games dengan Astro ini satu usaha mengangkat Malaysia sebagai salah satu hab e-sukan dunia.
KUALA LUMPUR: Tahun ini buat kali keduanya Malaysia menjadi tuan rumah Kejohanan Antarabangsa ‘Mobile Legends: Bang Bang’ (MLBB) M6 yang mempertemukan ‘gamers’ dari serata dunia untuk merebut gelaran juara bagi edisi keenam.
Sebanyak 23 pasukan terbaik berentap mulai 21 November 2024 di IOI City Mall, Putrajaya, sebelum Grand Finale pada Ahad 14 Disember di Axiata Arena, Bukit Jalil bagi penentuan siapakah yang akan membawa pulang hadiah utama US$1 juta.
Bersempena dengan temasya gilang-gemilang yang menjadi penutup kalendar kejohanan 2024 itu, MOONTON Games selaku pembangun permainan arena pertempuran dalam talian berbilang pemain (MOBA) MLBB berkolaborasi dengan Astro untuk membawakan Karnival M6.
Bertempat di perkarangan tempat letak kereta Stadium Nasional Bukit Jalil, Karnival M6 hadir sebagai acara ‘build-up’ kepada Grand Finale kejohanan berprestij MLBB itu, yang menggalas matlamat besar untuk menghubungkan komuniti e-sukan dengan khalayak umum.
“Masyakarat secara umumnya masih punyai tanggapan negatif terhadap e-sukan ini dan kolaborasi ini adalah usaha untuk menghubungkan dua dunia ini melalui kandungan dan hiburan, yang mana Astro adalah juaranya, supaya lebih ramai memahami potensinya dalam banyak aspek,” jelas Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan MOONTON Games, Fikri Rizal.
Katanya, penganjuran kali kedua M Series di Malaysia menjadi satu petunjuk daripada MOONTON Games tentang keseriusan mereka mengembangkan e-sukan di Malaysia, pada masa sama mempamer kemampuan Malaysia menganjurkan acara berkualiti tinggi dengan matlamat meletakkan Malaysia sebagai antara hab e-sukan dunia.
Karnival sepanjang tiga hari bermula Jumaat 13 Disember hingga Ahad 15 Disember ini membawakan pelbagai pengisian di pentas utama seperti konsert artis-artis terkemuka tanah air antaranya Naim Daniel, Hael Husaini, Masdo, Dolla, Bunga dan Luqman Podolski, selain pelbagai pertandingan serta aktiviti di setiap reruai yang menawarkan pengalaman dan hadiah-hadiah menarik untuk disambar.
Skrin besar di pentas utama menayangkan perlawanan Separuh Akhir dan Grand Finale, masing-masing pada Sabtu dan Ahad, untuk Pesta Tontonan yang menjemput para pengunjung karnival, peminat atau bukan peminat e-sukan, untuk menonton dan merasai kehangatan kemuncak kejohanan dunia ini bersama.
Kata Fikri, Malaysia mempunyai potensi yang besar bukan sekadar sebagai penganjur acara berprestij bermutu tinggi, tetapi dalam melahirkan atlet-atlet e-sukan yang hebat bertaraf dunia.
Pencapaian e-sukan kita setakat ini agak membanggakan dan cemerlang di pentas antarabangsa, antaranya pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang dinobat sebagai juara kejohanan Mid Season Cup MLBB 2024 di Riyadh, Arab Saudi pada Julai tempoh hari.
“Bagaimanapun, MOONTON Games tidak hanya menumpukan perkembangan para pemain di peringkat profesional, tetapi juga pembentukan ekosistem yang mentap untuk membangunkan bakat-bakat di peringkat akar umbi, yang dizahirkan melalui penganjuran Liga E-Sukan Malaysia (MEL) pada awal tahun ini," katanya.
#Karnival M6 #mlbb #MOONTON Games #Astro
;