Kapten kriket India Virat Kohli kahwini bintang Bollywood Anushka Sharma

Bernama
Disember 12, 2017 11:04 MYT
Pasangan Anushka Sharma dan Virat Kohli akan berpindah ke rumah baharu mereka yang terletak dalam kawasan Worli di Mumbai pada akhir bulan ini. Twitter @AnushkaSharma
Bintang Bollywood Anushka Sharma dan kapten kriket India Virat Kohli sudahpun berkahwin dan penyatuan mereka itu diraikan oleh berjuta-juta peminat.
Fanatik dengan sukan kriket dan filem-filem Bollywood, rakyat India telah mengikuti dengan teliti perkembangan perhubungan pasangan itu selama bertahun-tahun.
Sharma dan Kohli, kedua-duanya berusia 29 tahun, mula menjalinkan hubungan romantik pada 2013.
"Hari ini kami telah melafazkan janji untuk saling terikat dalam percintaan buat selama-lamanya. Kami benar-benar diberkati untuk berkongsi khabar gembira ini dengan anda," kata pasangan itu menerusi akaun Twitter pada Isnin dan turut menyiarkan gambar-gambar perkahwinan mereka.
Media India telah membuat spekulasi sejak beberapa hari lepas bahawa mereka akan berkahwin di Itali.
Majlis perkahwinan yang berlangsung di sebuah pusat peranginan di Tuscany secara tertutup itu dihadiri oleh anggota keluarga dan teman rapat pasangan tersebut.
Ucapan tahniah buat pasangan itu mencurah-curah daripada peminat, selebriti filem dan pemain kriket, termasuk mereka yang berada di Pakistan.
Merpati dua sejoli itu akan berpindah ke rumah baharu mereka yang terletak dalam kawasan Worli di Mumbai pada akhir bulan ini.
-- BERNAMA
#Anushka Sharma #Bollywood #India #Kriket #perkahwinan #Twitter #virat kohli
;