Kanye West pertahan idea 'longgok' koleksi terbaharu dalam beg plastik hitam
Agensi
Ogos 21, 2022 22:46 MYT
Ogos 21, 2022 22:46 MYT
PENYANYI rap dan usahawan, Kanye West menegaskan dia mempunyai sebab tersendiri apabila memilih 'melonggokkan' koleksi fesyen Yeezy Gap Engineered by Balenciaga dalam beg 'plastik sampah'.
Pemenang 21 trofi Anugerah Grammy itu menyatakan dia berhak berkreatif dalam memasarkan koleksinya, dan enggan meminta maaf jika ada pihak yang kurang selesa dengan caranya.
“Saya seorang pereka. Dan saya di sini bukan untuk meminta maaf atas idea saya.
“Itulah yang cuba dilakukan oleh media, memaksa kami memohon maaf atas sebarang idea yang tidak sesuai dengan cara mereka,” kata West dalam temubual bersama Fox News.
West menyatakan matlamatnya adalah untuk menjadikan pengalaman membeli-belah lebih mudah dan lebih seimbang.
Dalam foto yang tersebar di media sosial, koleksi terbaharu Yeezy itu diletakkan dalam beg plastik seakan-akan beg plastik sampah berwarna hitam, tidak digantung di rak untuk dipamerkan seperti kebiasaannya.
Ramai yang menyifatkan ia tidak sensitif terhadap komuniti gelandangan, malah ada yang berpendapat ia 'satu penghinaan' untuk pelanggan kerana terpaksa memunggah isi kandungannya bagi mencari barangan yang mereka inginkan.
Dalam catatan di Instagram yang kini telah dipadamkan, West memetik 'gelandangan' dan 'kanak-kanak' sebagai inspirasi idea berkenaan.
“Ini bukan permainan. Ini bukan sekadar kerjasama selebriti. Ini hidup saya. Saya berjuang untuk menukar persepsi tentang fesyen dan membawa rekaan terbaik kepada semua golongan.
"Semasa saya ke Republik Dominica, saya berkunjung ke sebuah kedai pakaian dan melihat orang ramai memunggah baju dari sebuah tong di luar kedai, saya nampak mereka begitu gembira... seperti kanak-kanak yang menemui sesuatu yang berharga," jelasnya.