Kamil Othman dilantik pengerusi FINAS
Faida Rahim
Februari 24, 2023 10:40 MYT
Februari 24, 2023 10:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia (KKD) mengumumkan pelantikan Datuk Kamil Othman sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang baharu.
Pelantikan Kamil bagi menggantikan senator Datuk Seri Zurainah Musa yang dibatalkan perkhidmatannya berkuat kuasa Disember lalu.
Mengesahkannya, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan di Facebook mengucapkan tahniah atas pelantikan Kamil.
“Tahniah buat Datuk Kamil Othman atas lantikan sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang baharu.
“Datuk Kamil Othman tidak asing dalam industri, pernah menjawat tugas CEO FINAS,’ katanya.
Dalam pada itu, beliau akan bertemu Kamil pada minggu hadapan untuk berbincang beberapa perkara termasuk halatuju FINAS, serta meneliti dapatan dan teguran laporan Ketua Audit Negara untuk penambahbaikan dan pembetulan.
Sementara itu, beliau memaklumkan jawatan Pengerusi Skim Wajib Tayang FINAS akan dilantik secepat mungkin.
Untuk rekod, Kamil pernah memegang jawatan sebagai pengarah FINAS pada 2014 sehingga 2016.