'Kami tidak bernikah di Mekah, bertunang 13 Nov lalu' - Fattah
Astro Awani
November 23, 2017 18:43 MYT
November 23, 2017 18:43 MYT
Spekulasi peminat dan pemerhati media sudah terjawab.
Pasangan selebriti, Abdul Fattah Mohd Amin, 27 tahun dan Nur Fazura Sharifuddin, 34 tahun sahkan mereka sebenarnya sudah bertunang pada 13 November lalu di kediaman nenek aktres itu di Petaling Jaya, Selangor.
"Kami tidak bernikah di Mekah," kata Fattah di sebuah sidang media khas yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini petang tadi.
BACA PENGAKUAN FAZURA: 'Saya nampak masa depan saya di mata Fattah'
LIHAT GALERI FOTO: Fattah Amin dan Fazura umum sudah bertunang!
Di sidang media itu, Fattah mengesahkan keluarganya menghantar rombongan merisik Nur Fazura pada 13 November lalu. Mereka terus melangsungkan pertunangan mereka pada tarikh yang sama.
Pasangan tersebut yang memakai baju putih sedondon itu tiba di sidang media itu sejurus selepas mereka tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur sekitar jam 4.15 petang tadi.
Majlis pernikahan Fattzura akan dilangsungkan secara tertutup tidak lama dari sekarang, namun tarikhnya belum dipastikan lagi atas sebab proses aplikasi pernikahan.
Pasangan sensasi ini juga merancang untuk mengadakan dua majlis resepsi pada awal tahun hadapan; satu bagi keluarga dan rakan media manakala satu lagi untuk para peminat.
Menurut Fazura, majlis resepsi untuk peminat diadakan bagi menghargai mereka yang telah menyokong dan mendoakan mereka selama ini.