"Kami telah sedaya upaya cuba selamatkan perkahwinan.." Jaclyn dan Shawn bercerai
Faris Danial Razi
Januari 11, 2020 17:11 MYT
Januari 11, 2020 17:11 MYT
Rumah tangga penyanyi, Jaclyn Victor dan vokalis kumpulan R&B antarabangsa, AZ yet, Shawn Rivera yang terbina sejak lima tahun lalu dikhabarkan berakhir.
Ia berikutan pengumuman perceraian yang dilakukan sendiri oleh Shawn, 48 menerusi catatan terbaharunya di Facebook dan Instagram miliknya, pada petang Sabtu.
Sekalipun enggan mendedahkan punca perceraian, Shawn, yang berasal dari Pennsylvania, Amerika Syarikat hanya mampu mengungkapkan bahawa ia bukan mudah bagi mereka berdua membuat keputusan untuk berpisah.
Menurutnya, biarlah mereka sahaja yang tahu apa sebenarnya berlaku dan mendedahkan bahawa sebagai selebriti, tidak dapat dinafikan bahawa mereka pastinya terdedah dengan pelbagai tanggapan masyarakat.
"Menjadi amalan manusia untuk menilai, menuding jari dan mengkritik orang lain tanpa mengetahui kedudukan sebenar.
"Justeru, tidak perlu untuk kami membuka pekung di dada atau memburukkan antara satu sama lain kerana kesannya nanti menimpa anak kami yang tidak berdosa," tulisnya.
Menurut artis yang terkenal dengan lagu ‘Hard To Say I’m Sorry’ itu lagi, mereka sudah cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan perkahwinan mereka.
"Hakikat tinggal berjauhan dalam tempoh cukup lama membuatkan masing-masing agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan situasi berbeza ini.
"Walaupun berpisah, kami takkan sekali-kali mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa. Kami akan kekal komited memberikan yang terbaik buat kedua-dua anak kami supaya mereka menjadi insan berguna apabila dewasa kelak.
Pada masa sama, Shawn menjelaskan tidak kira apa sekalipun yang berlaku antara mereka berdua, beliau tetap menyayangi keluarganya itu.
Beliau juga memohon agar semua pihak dapat menghormati situasi mereka sekali gus meminta agar masing-masing tidak diganggu.
Bagaimanapun, kami dari Astro AWANI telah cuba mendapatkan penjelasan bagi pihak Jaclyn sendiri, namun masih belum dijawab.
Untuk rekod, pasangan selebriti itu berkahwin di sebuah gereja bersejarah di Philadelphia pada 19 Julai 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Jonah Joshiah Rivera, 5, dan Molly Marguerite Rivera, 3.