Kami jangka ambil masa sebulan tentukan jantina Sajat - Jakim
Gempak
Januari 20, 2018 14:34 MYT
Januari 20, 2018 14:34 MYT
JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dijangka mengambil tempoh masa sebulan untuk mengesahkan identiti sebenar usahawan kosmetik, Nursajat Kamaruzzaman.
Menurut Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof, proses tersebut mengambil masa yang panjang kerana melibatkan banyak pihak.
“Proses ini akan mengambil masa yang panjang kerana melibatkan banyak pihak. Dijangkakan dalam tempoh sebulan paling minimum,” katanya menerusi kenyataan di Facebook JAKIM lewat petang Jumaat.
Mohd Izwan juga menjelaskan, Jakim bersetuju terhadap beberapa proses yang perlu dilalui Sajat untuk pengesahan identitinya secara rasmi.
“Keputusan hanya akan diumumkan selepas segala proses itu selesai dan disahkan oleh sekumpulan panel Pakar Kajian Syariah yang diurusetiakan Jakim,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Izwan berkata, Jakim menafikan sekeras-kerasnya mengenai dakwaan sebuah video yang menuduh pihak Jakim menelefon seorang individu dan memaklumkan jantina Sajat.
“Kami juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan di dalam sebuah video yang menuduh pihak Jakim ada menelefon seorang individu dan memaklumkan jantina Sajat,” tegasnya.
Terdahulu, Jakim menemui jalan penyelesaian dalam mendapatkan pengesahan mengenai identiti sebenar Sajat selepas mengadakan pertemuan dengan usahawan kosmetik itu di Wisma Nur Sajat di Shah Alam, Selasa.
Difahamkan, pihak Jakim mengadakan pertemuan dengan Sajat ekoran cemuhan dan kecaman yang diberikan kepada usahawan kosmetik itu berhubung isu identitinya.
Foto: Instagram @nursajat02
Sumber: Facebook JAKIM