'Kami hormati Bahasa Melayu namun filem ada 'bahasanya' sendiri' - Pengarah 'Jagat'
Astro Awani
Ogos 8, 2016 08:00 MYT
Ogos 8, 2016 08:00 MYT
Pembikin filem Jagat berkata filem sebagai media visual mempunyai bahasanya tersendiri dan perlu mendahului aspek lain, termasuk bahasa pertuturan.
Penulis dan pengarah Jagat Shanjhey Kumar Perumal dan penerbit eksekutif Sivanantham Perianan dalam satu kenyataan pada Ahad berkata mereka menghormati Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan namun percaya bahawa filem turut mempunyai bahasanya tersendiri iaitu “bahasa perfileman”.
“Dalam konteks pembikinan filem, kami percaya bahawa bahasa perfileman mendahului aspek perfileman lain termasuk bahasa pertuturan, lakonan, skor muzik, penataan seni dan sebagainya,” kata mereka.
Mereka turut menjelaskan bahawa borang pencalonan tidak menggariskan bahawa filem yang memohon menyertai festival perlu menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai medium.
“Malah, tiada ruang pencalonan disediakan untuk kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik (Bukan Dalam Bahasa Malaysia) dan Lakon Layar Terbaik (Bukan Dalam Bahasa Malaysia).
“Berdasarkan surat PFM (Persatuan Penerbit Filem) kepada Finas, keputusan untuk mewujudkan kategori-kategori tersebut dibuat dalam mesyuarat tergempar PFM pada 14 Julai 2016,” kata mereka dalam kenyataan itu.
Selain itu, mereka menyaran Jawatankaasa FFM28 untuk menjadikan Festival Filem nasional negara India sebagai penanda aras susulan isu pengasingan tiga kategori utama festival itu setelah senarai calon diumumkan baru-baru ini.
“Negara itu mempunyai latar belakang masyarakat majmuk yang lebih kompleks berbanding Malaysia,” kata mereka.
Berikut adalah kenyataan penuh mereka yang dimuat naik di laman Facebook 'Jagat The Movie’.
Terlebih dahulu kami ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang telah mencalonkan Filem Jagat dalam sembilan kategori (enam kategori terbuka dan tiga kategori bukan Bahasa Malaysia) dalam FFM28.
Kami menganggap pencalonan ini sebagai suatu penghargaan yang tinggi oleh Kerajaan Malaysia. Sememangnya pencalonan ini memberi dorongan untuk kami terus bergiat aktif dan maju jaya dalam bidang perfileman.
Sehubungan itu, setelah membuat penelitian secara mendalam, kami ingin merakamkan pendirian kami di sini bahawa Filem Jagat akan menyertai FFM28 yang dijadualkan diadakan pada 3 September 2016.
PENGHARGAAN KEPADA FINAS
2. Kami sedar bahawa, pada asalnya kebanyakkan inisiatif dalam bidang perfileman Negara dilaksanakan untuk memartabatkan filem Bahasa Melayu dengan mangambil kira realiti bahawa pasaran dan pembikinan filem didominasi oleh filem Bahasa Melayu.
Senario ini mula berubah semenjak tahun 2012 apabila wajib tayang dan insentif pengecualian cukai yang diwujudkan untuk melindungi filem Bahasa Melayu dilanjutkan kepada filem bukan Bahasa Melayu juga. Berikutan ini pembikinan filem-filem bukan Bahasa Melayu terus berkembang maju dari segi bilangan dan kualiti. Filem-filem yang diterbitkan secara persendirian (independent) and filem bukan Bahasa Melayu turut diberi akses kepada pelbagai jenis dana yang disediakan oleh Finas secara khasnya dan pelbagai Agensi Kerajaan lain secara amnya.
Finas juga turut mengiktiraf dan mencalonkan filem-filem bukan Bahasa Melayu ke festival filem antarabangsa mewakili Malaysia dan membantu dalam usaha memasarkannya di peringkat antarabangsa seperti Cannes Film Market. Kami mewakili penggiat seni generasi baru ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih ke atas niat dan inisiatif yang telah dan sedang dijalankan oleh Finas seperti di atas. Lanjutan itu, keputusan untuk memberi ruang kepada filem bukan Bahasa Melayu bertanding dalam Festival Filem Malaysia boleh dilihat sebagai suatu penghargaan tertinggi dalam senario perfileman Negara.
ISU PENGKELASAN KATEGORI FFM28
3. Walaubagaimanpun, kami percaya bahawa terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam penganjuran festival ini.
Pertamanya, isu berkaitan pengasingan tiga kategori utama festival iaitu Kategori Filem Terbaik FFM28 & Filem Terbaik Bukan Dalam Bahasa Malaysia, Pengarah Terbaik FFM28 & Pengarah Terbaik Bukan Dalam Bahasa Malaysia, Lakon Layar Terbaik FFM28 & Lakon Layar Terbaik Bukan Dalam Bahasa Malaysia.
Berdasarkan surat PFM kepada Finas bertarikh 14 Julai 2016, adalah jelas bahawa pengkelasan ini dicadangkan oleh pihak PFM. Beberapa kenyataan media oleh pihak PFM juga mewajarkan keputusan tersebut dan dijelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat berdasarkan peruntukan akta tertentu.
4. Berdasarkan penelitiaan, kami mendapati akta yang berkaitan dengan isu ini, Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) tidak menyentuh tentang penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai hanya satu-satunya medium dalam pembikinan filem. Malah tiada definisi yang memperuntukan apa itu sebenarnya Filem Kebangsaan atau Filem Malaysia.
5. Jikalau isunya tidak melibatkan akta tetapi peraturan-peraturan yang telah diadakan oleh jawatankuasa tertentu yang diwujudkan untuk melaksanakan Festival Filem Malaysia, maka kami ingin merujuk kepada peraturan-peraturan yang telah digariskan di dalam borang pencalonan FFM28. Hasil penelitian, borang pencalonan tidak menggariskan bahawa filem yang memohon menyertai festival perlu menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai medium.
Malah, tiada ruang pencalonan disediakan untuk kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik (Bukan Dalam Bahasa Malaysia) & Lakon Layar Terbaik (Bukan Dalam Bahasa Malaysia). Berdasarkan surat PFM kepada Finas, keputusan untuk mewujudkan kategori-kategori tersebut dibuat dalam mesyuarat tergempar PFM pada 14 Julai 2016.
6. Sehubungan itu, kami memohon supaya PFM menjelaskan dan mempamerkan punca kuasa bagi penggunaan 70 peratus Bahasa Melayu yang menjadi rujukan dalam pemilihan dan penjurian filem terbaik Festival Filem Malaysia selama ini.
7. Seandainya peraturan ini adalah ditetapkan oleh jawatankuasa yang diamanatkan untuk penganjuran Festival Filem Malaysia, maka kami percaya bahawa ianya boleh dirombak menerusi sesi dialog dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak bagi kepentingan industri perfileman Malaysia.
8. Sehubungan ini, kami ingin menyarankan agar Jawatankuasa FFM membuat penandaarasan dengan pelaksanaan Festival Filem peringkat nasional negara India yang mempunyai latar belakang masyarakat majmuk yang lebih kompleks berbanding Malaysia.
PENGHARGAAN KEPADA RAKAN SEPERJUANGAN & PERBEZAAN STRATEGI
9. Kami ingin merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan seperjuangan kami iaitu saudara Alfie Palermo (Penulis), saudara Al Jafree Md Yusop (Komuniti Filem Titiwangsa) saudara Adflin Shauki (Pengarah & Pelakon), saudara Mad Noor Kassim (Sinematografer) kerana menyuarakan pendapat masing-masing demi kepentingan dan penambahbaikan dalam penganjuran Festival Filem Malaysia. Rakan-rakan tersebut telah menyuarakan pendirian mereka dalam media massa dan juga mengistiyarkan penarikan diri dari menyertai FFM28. Kami percaya bahawa ia adalah di antara strategi yang boleh membawa kepada pembaharuan dalam penganjuran Festival Filem Malaysia. Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada ahli politik dan ahli perniagaan yang menyuarakan pendapat serta cadangan masing-masing demi kepentingan penganjuran festival ini.
10. Walaubagaimanapun, kami dari pihak Filem Jagat mengambil pendirian untuk bekerja ke arah pencapaian hasrat yang sama seperti rakan-rakan seperjuangan tetapi melalui strategi yang berlainan. Kami percaya bahawa isu ini boleh diselesaikan atau penambahbaikan boleh dibuat menerusi sesi dialog dengan pihak–pihak yang terlibat dalam penganjuran festival.
PENDIRIAN MENGENAI BAHASA
11. Kami menghormati Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Perkara ini termaktub dalam Perlembangaan Malaysia dan tiada siapapun yang boleh mempertikaikan perkara tersebut. Tajuk ‘Jagat’ sendiri adalah diambil dari perkataan Melayu ‘Jahat’.
Jagat telah jelas mempamerkan Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan (unity tool) apabila watak pelbagai kaum dalam filem tersebut bertutur dalam Bahasa Melayu apabila ada interaksi di antara mereka. Namun, kami percaya bahawa filem sebagai media visual mempunyai bahasanya sendiri iaitu bahasa perfileman (film language). Sehubungan itu, dalam konteks pembikinan filem, kami percaya bahawa bahasa perfileman mendahului aspek perfileman lain termasuk bahasa pertuturan, lakonan, skor muzik, penataan seni dan sebagainya.
12. Kami sebagai penggiat seni mempunyai harapan untuk melihat dan untuk turut serta dalam penerbitan filem di dalam bahasa minoriti dari Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur (Iban, Bidayah, Kadazan Dusun & sebagainya). Kami percaya dalam meraikan kepelbagaian dan ini tidak bermaksud merendahkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
EKSPEKTASI
13. Besarlah harapan kami seandainya rombakan dan penambahbaikan dalam penganjuran Festival Filem Malaysia seperti yang dicadangkan oleh pelbagai pihak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat. Tetapi, jika penambahbaikan tersebut melibatkan sebarang peruntukan akta atau peraturan tertentu, kami sedar bahawa ia mungkin mengambil masa yang lebih lama untuk dilaksanakan. Menyedari hakikat tersebut, kami bersedia untuk bekerjasama dengan pihak-pihak yang terlibat untuk menjadikan penambahbaikan tersebut suatu realiti walaupun ia mungkin mengambil masa yang lebih panjang.
14. Sebagai penggiat seni, kami sentiasa menaruh harapan kepada masa depan yang lebih baik dari hari ini. Dalam senario industri perfileman Malaysia, kami percaya bahawa perubahan yang positif sedang berlaku sejak kebelakangan ini. Kami percaya industri perfileman berada di persimpangan yang penting di mana penambahbaikan holistik berpandukan objektif tertentu (common objective) perlu dibuat untuk kita sentiasa berdaya saing dan terus maju jaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
* Shanjey Kumar Perumal adalah penulis dan pengarah 'Jagat'.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.