"Kami akan bernikah dalam masa terdekat"- Aiman Tino

Gempak
Februari 8, 2023 16:12 MYT
Kata Aiman, mereka bertemu sekitar 2019 selepas diperkenalkan oleh seorang sahabat. - Gempak
PENYANYI dan pelakon Aiman Tino merancang untuk melangsungkan perkahwinannya dengan wanita pilihan hatinya, Syarah Haifa dijangka sebelum Ramadan atau selewat-lewatnya April ini.
Kata Aiman, 25, buat masa ini tarikh pernikahan mereka belum ditetapkan lagi namun akan dipercepatkan selepas majlis merisik pada Januari lalu.
"Kami akan bernikah dalam masa terdekat...paling cepat sebelum Ramadan atau Raya ini sebab saya rasa dah tiba masanya untuk saya halalkan hubungan ini.
"Mak pun dah bising setiap kali balik kampung dia asyik tanya bila nak kahwin. Dulu dia dan ayah umur 23 tahun dah kahwin, saya lewat sedikit. Jadi saya rasa benda baik ini apa salahnya kita cepat halalkan.
"Lagipun saya pun dah selesa dengan dia. Kami selalu keluar bersama dan dia ikut saya bekerja malah kami juga ada usahakan perniagaan bersama.
"Setakat ini segala persiapan sudah pun siap tinggal tunggu tarikh sahaja. Jadi saya rasa baik utamakan wajib dulu.
"Sementara perancangan untuk bersanding pula mungkin dalam Jun hingga Ogos ini," katanya yang ditemui Astro Gempak.
Penyanyi lagu Permata Cinta itu ditemui Gempak ketika Tayangan Media Filem Tonton Irama Kita yang berlangsung di GSC The Starling, Damansara Utama, Petaling Jaya.
Bercerita mengenai perkenalan mereka, kata penyanyi ini mereka bertemu sekitar 2019 selepas diperkenalkan oleh seorang sahabat.
“Sebenarnya kami mula kenal dan jalankan perniagaan bersama sejak kurang setahun yang lalu. Kemudian kami mula rapat.
“Apabila bertambah rapat kami pun tertanya apa lagi yang dimahukan? Jadi tak salah rasanya untuk melangkah ke fasa perkahwinan.
"Saya terpikat dengannya kerana sifat lemah- lembutnya yang selama ini memang menjadi idaman saya untuk dibuat isteri.
“Masing-masing pun sudah ada kerjaya dan semoga ikatan perkahwinan ini akan membuatkan kami terus berjaya dalam perniagaan,” ujarnya.
Terdahulu pada hujung Januari lalu, dalam perkongsian di Instagram dilihat ibu Aiman iaitu Hazelina Mat Jalil dilihat menyarung cincin di jari manis Syarah sebagai tanda hasrat hati untuk menyunting wanita pilihan.
Dalam acara serba ringkas di kediaman kekasih Aiman itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Ku Rela Dibenci itu dilihat turut hadir bersama ahli keluarga lain.
Difahamkan majlis merisik itu berlangsung di Cheras. -- Gempak
#Aiman Tino #bernikah #melangsungkan perkahwinan #Syarah Haifa
;