Kamal Adli, Uqasha Senrose rasmi bergelar suami isteri 5 November lalu
Astro Awani
Disember 7, 2021 16:22 MYT
Disember 7, 2021 16:22 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas sebulan menyimpan rahsia, akhirnya, pasangan pelakon Kamal Adli dan Uqasha Senrose mengumumkan mereka sudah bergelar suami isteri.
Kamal dan Uqasha diijabkabul pada 5 November lalu di sebuah lokasi yang dirahsiakan di Janda Baik, Pahang.
Dalam majlis akad nikah itu, Kamal atau nama sebenarnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 35, menyerahkan mas kahwin RM22.50 kepada isterinya, Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 29.
Kamal turut menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan daripada Uqasha.
Pasangan berkenaan membuat pengumuman itu dalam sidang media khas anjuran Astro pada Selasa.
Stesen televisyen satelit pertama negara itu turut mendapat hak penyiaran eksklusif majlis pernikahan dan persandingan pasangan pelakon itu.
Sebanyak tiga episod bermula dengan majlis persiapan, pernikahan dan persandingan akan ditayangkan pada 11, 18 dan 25 Disember ini di saluran Ria.