"Kamal Adli, tolong jadi matang dan jangan ganggu saya" - Zahirah MacWilson

Astro Awani
Oktober 25, 2017 11:15 MYT
Zahirah mahu Kamal Adli perlu bersikap profesional dan matang dalam menyelesaikan masalah hubungannya dengan Emma Maembong.
PELAKON Zahirah MacWilson meminta agar Kamal Adli bersikap profesional dan matang dalam menyelesaikan masalah hubungannya dengan Emma Maembong.
Dalam kemas kini status di akaun Instagram, Zahirah nyata tidak dapat membendung rasa kecewa apabila namanya secara terus-terusan dibabitkan dalam krisis hubungan Kamal dan Emma.
Bersama status itu, Zahirah turut memuat naik screen capture perbualannya dengan Kamal melalui aplikasi WhatsApp.
Dalam perbualan itu, Zahirah dilihat tidak berpuas hati dan meminta agar heronya dalam drama bersiri Duda Pujaan Dara, berhenti memetik namanya kerana ia menjadi punca Emma terasa hati.
Zahirah juga berang dan beranggapan Kamal sengaja menggunakan namanya untuk membuatkan Emma cemburu.
"Saya terpaksa muat naik status ini kerana saya sudah penat berdiam diri dan dipersalahkan," tulis Zahirah.
Terbaharu, dalam temubual eksklusif bersama portal Berita Harian semalam, Emma mengakui hubungannya dengan Kamal sudah berakhir.
“Kalau betul kemesraan ditunjukkan atas urusan kerja, kenapa perlu sorok seperti menyembunyikan sesuatu? Saya tidak boleh bersama dengan orang yang menipu dan kemudian menuding jari supaya kesalahan diletak pada bahu orang lain,” katanya kepada BH Online.
Hubungan Kamal Adli dan Emma Maembong yang sudah terjalin kira-kira tiga tahun, baru-baru ini didakwa retak selepas kehadiran orang ketiga dan nama Zahirah disebut-sebut sebagai punca keretakan itu.
#Emma Maembong #hiburan #Instagram #Kamal Adli #krisis #WhatsApp #Zahirah McWilson
;