Kamal Adli enggan panjangkan kontroversi, gembira Emma datang beri sokongan
Gempak
Oktober 28, 2017 15:42 MYT
Oktober 28, 2017 15:42 MYT
PELAKON Kamal Adli meminta semua pihak agar tidak menyalahkan teman wanitanya, aktres Emma Maembong yang mengeluarkan kenyataan mengenai hubungan mereka putus.
Sebelum ini, Emma membuat kenyataan mengenai hubungan cinta mereka telah bernoktah kerana kontroversi yang berlaku antara Kamal Adli dan pelakon berdarah kacukan, Zahirah Macwilson.
“Saya tahu dia mengeluarkan kenyataan tersebut ketika sedang marah. Saya harap semua pihak tidak marah dan menyalahkan Emma.
“Apa yang berlaku antara kami merupakan khilaf saya sendiri. Sekali lagi, saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada Emma serta berharap agar semua orang faham keadaan kami dan tidak menyalahkan Emma.
“Jangan salahkan dia kerana apa yang dirasakan itu merupakan luahan hatinya sebagai teman wanita saya. Sebagai insan yang paling rapat dengan Emma, tentunya saya faham apa yang dia rasakan,” kata Kamal Adli.
Tambah Kamal Adli, dia kecewa dengan tindakan Zahirah yang memberikan tuduhan tidak masuk akal.
“Saya tak faham apa motif Zahirah sebenarnya. Isu membabitkan kami telah selesai dibincangkan sebelum ini.
“Saya mengaku salah saya kerana memetik namanya dan keluar dengannya bersama dua teman lain. Tetapi semua itu telah saya selesaikan ketika bertemu dengan Emma, Zahirah dan teman lelakinya, Zul Ariffin.
“Ada tiga pertemuan kesemuanya. Saya memohon maaf kepada semua pihak serta menegaskan saya dan Zahirah tiada hubungan.
“Semuanya telah diselesaikan secara baik tetapi lain pula jadinya apabila Zahirah memuat naik paparan beberapa bahagian perbualan WhatsApp kami di laman Instagram miliknya serta kenyataan yang diberikannya ketika ditemu bual oleh pihak media.
“Apa motif dia? Kenapa muat naik sebahagian sahaja, lalu dia memadamnya? Saya ada banyak bukti tetapi saya sendiri malas mahu memanjangkan perkara ini. Kalau saya berlawan, sampai bila isu ini akan selesai?” katanya lagi.
Kamal Adli juga enggan memanjangkan kontroversi dan berharap agar semuanya berakhir selepas dia memberikan kenyataan ini.
“Saya tak mahu panjangkan isu. Biarlah sampai di sini sahaja. Saya tahu keadaan Emma yang sedang marah dan biar kami sama-sama jernihkan hubungan yang kami bina.
“Alhamdulillah, semuanya semakin baik. Hubungan saya dan Emma juga ada perubahan positif. Saya juga sangat gembira kerana Emma datang dan menyokong saya di pentas akhir SSS2017,” katanya Kamal Adli.
Kamal Adli menepati ramalan apabila diumumkan sebagai juara Super Spontan Superstar 2017 (SSS2017) malam tadi.
Kamal Adli yang merupakan anggota kumpulan King Musang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 100,000 dan trofi.
Pentas akhir SSS2017 bersiaran secara langsung dari Dewan Percubaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada Jumaat bermula jam 10 malam dan ditayangkan serentak menerusi Astro Warna (saluran 132) dan Mustika HD (saluran 134).
Program ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘On Demand’.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @emma_maembongofficial