Kali ketiga buat silap, Erra Fazira mohon maaf pada Umie Aida
Astro Awani
Jun 14, 2019 15:27 MYT
Jun 14, 2019 15:27 MYT
TEKA-teki berhubung status di laman Instagram pelakon wanita terkenal, Datin Seri Umie Aida yang seakan-akan menjurus pada perselisihan faham dengan seorang rakan artis yang tidak dinamakan beliau akhirnya terjawab.
Jawapan pada persoalan itu terungkai sebaik pelakon dan penyanyi jelita, Erra Fazira mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Umie di laman Instagramnya.
Perkongsian yang dibuat Erra menjelang solat Jumaat tengah hari tadi menjadi bahan perbincangan di media sosial.
Ini ekoran tindakan Umie yang tidak menamakan siapakah rakan artis yang didakwa telah mengkhianati persahabatan yang terjalin antara mereka sejak sekian lama.
“Kepada semua, saya mohon maaf di atas segala apa yang terjadi. Saya manusia biasa yang ada buat salah dan pernah menyakiti hati teman saya, Umie.
“Umie pernah memaafkan saya sebelum ini dan saya mengecewakannya lagi buat kali ketiga. Umie memendam perasaan dan pernah menghantar mesej secara peribadi dengan baik,” tulis Erra.
Primadona filem Melayu itu bagaimanapun, menutup ruangan komen pada status yang dimuat naiknya.
Dalam permohonan maaf secara terbuka itu juga, Erra turut mengharapkan pengakuan itu dapat menghentikan perbalahan dan perdebatan semua pihak khususnya di media sosial.
Erra, 45 tahun, dalam masa sama juga berharap konflik yang tercetus antara dia dan Umie akan berakhir sebaik permohonan maaf itu dikemukakannya.
Perselisihan yang tercetus antara kedua mereka juga, disifatkan Erra memberi pengajaran besar padanya.
“Umie jika tiada bukti, tidak akan bersuara. Saya harap dengan pengakuan ini dapat menghentikan semua perbalahan. Saya belajar daripada kesilapan dan akan memperbaiki kekurangan diri.
“Ternyata saya banyak kekurangan dan harus terus baiki diri. Saya mohon maaf sekali lagi pada semua, termasuk Umie,” katanya.
Astro AWANI berusaha menghubungi kedua-dua artis ternama itu bagi mendapatkan maklum balas lanjut, namun baik panggilan telefon mahupun mesej di aplikasi WhatsApp tidak dijawab mereka.
#Erra Fazira
#Erra Fazira mohon maaf pada Umie Aida
#Instagram
#Kali ketiga buat silap
#media sosial
#mohon maaf
#Perselisihan Faham
#rakan artis
#sahabat baik
#Umie Aida