"Kalau marah macam mana pun, Saya tak pernah angkat tangan" - Aeril Zafrel
Gempak
Mac 3, 2023 12:05 MYT
Mac 3, 2023 12:05 MYT
PELAKON Aeril Zafrel mempunyai cara tersendiri untuk mengawal kemarahan sekiranya berdepan sesuatu situasi.
Jelas Aeril, secara moralnya setiap manusia tidak seharusnya berkasar antara satu sama lain apatah lagi individu rapat seperti isteri dan anak-anak.
"Kita sebagai manusia tak layak untuk berkasar dengan perempuan, malah kepada sesama insan pun. Tak patut!
"Saya kalau marah saya takkan pernah angkat tangan, kalau dengan anak atau isteri saya pun tak pernah angkat tangan," katanya kepada Gempak.
Aeril ditemui pada majlis pelancaran koleksi Aidilfitri Hijabistahub & Soultan Royale di JW Marriot Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam pada itu, Aeril juga mengakui pernah melalui pengalaman trauma ketika membesar dengan figura seorang bapa yang tegas.
"Saya pun pernah trauma, dulu ketika kecil bapa saya terlampau garang. Biasalah orang kampung dulu-dulu. Kadang-kadang berdarah-darah kena pukul.
"Jadi, saya berjanji takkan buat perkara sama kepada orang terdekat dengan saya, terutamanya anak-anak saya kerana saya pernah mengalami situasi itu dan saya sebagai anak sewaktu itu rasa sangat tak selesa.
"Malah, dalam rumah saya pun, saya takkan berkasar. Mahupun kepada pembantu rumah saya," ujarnya.
Justeru, Aeril punyai cara tersendiri untuk mengawal kemarahan seandainya berlaku situasi tegang membabitkan insan tersayang.
"Saya tegas dan garang tapi untuk sampai berteriak, angkat tangan, saya takkan sampai ke tahap itu.
"Mungkin saya tak diuji lagi sampai ke tahap itu tapi Alhamdulillah, kalau marah macam mana pun saya akan Istighfar, kita pun tak tahu lain orang lain ujiannya," ulasnya lanjut.
* Artikel asal disiarkan di Gempak.