'Kalau kerajaan tidak bersungguh, sampai kiamat pun cetak rompak tak selesai ...' - Yusof Haslam
Irwan Muhammad Zain
Februari 17, 2021 16:40 MYT
Februari 17, 2021 16:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agak bertindak tegas dalam menyelesaikan masalah cetak rompak yang telah menyebabkan ramai penerbit filem, drama dan muzik menanggung kerugian.
Penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam menegaskan tanpa kesungguhan dari pihak berwajib masalah cetak rompak tidak akan selesai.
Beliau menjelaskan, kegiatan cetak rompak bukan perkara baru tetapi ia sudah lama diperjuangkan oleh mereka yang terlibat dalam industri kreatif.
Namun, Yusof kesal kerana masalah cetak rompak ini akhirnya menjadi retorik semata-mata tanpa ada penyelesaian yang tuntas dari pihak kerajaan.
"Saya harapkan tindakan yang tegas daripada kerajaan kerana perkara ini kita sudah bercakap berpuluh kali, tetapi apa yang pihak industri dapat maklum balas semua retorik.
"Jadi ini kita mintak ketegasan supaya benda seperti ini dapat diatasi, kalau kerajaan tidak bersungguh-sungguh dan tidak buat undang-undang, sampai bila-bila pun ... sampai kiamat pun rompakan digital akan berterusan.
"Jika masalah ini tidak dapat diatasi dengan undang-undang yang lebih tegas ia akan jadi lebih parah dan menjejaskan pekerja industri kreatif," katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.
Perkhidmatan aplikasi kandungan tidak sah
Beliau mengambil conton tindakan di negara jiran yang mana pemerintah bersungguh-sungguh membanteras kegiatan cetak rompak dengan bertindak pantas sekiranya ada laporan.
Perkara yang sama tidak berlaku di negara ini hingga ada mereka yang terlibat dalam industri kreatif terpaksa bertindak sendiri untuk membanteras kegiatan cetak rompak.
"Saya pun pelik, kenapa negara kita tak boleh undang-undang, sedangkan negara jiran kita yang paling terdekat, rakan saya yang di negara tersebut bercerita apa yang berlaku di sana.
"Di negara jiran kita, kalau ada benda ini berlaku (cetak rompak) sekejap saja kerajaan mereka bertindak dan bila ada tindakan tegas rakyat mereka akan gentar nak buat benda ini.
"Tetapi di negara ini agak bebas, kalau ada cetak rompak berlaku, bila kita buat aduan kita akan dapat jawapan "akan bertindak... akan bertindak" tetapi sampai sekarang pun tidak ada apa-apa tindakan," katanya lagi.
Yusof berkata demikian ketika mengulas kegiatan pihak tertentu yang menjalakan urus niaga kotak media yang mempunyai perisian tidak sah.
Pada Selasa, seorang pengarah syarikat didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah memiliki enam kotak media yang mempunyai perisian tidak sah mengikut Seksyen 232 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
#Yusuf Haslam
#Skop Production
#Gerak Khas
#Cetak rompak
#digital
#kotak media
#Akta Komunikasi dan Multimedia 1998