Kalau dulu filem, sekarang Kampung Pisang bersiri-siri pula
Asyraf Roslan
November 29, 2020 08:32 MYT
November 29, 2020 08:32 MYT
MESTI kome idok percaya, kan?
Kalau dulu le nak nengok penduduk kampung pisang kena nungu filem arahan Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21, Mamat Khalid ditayangkan di pawagam.
Namun kali ini tidak lagi.
Buat julung kalinya francais filem blockbuster nombor satu tanah air ke skrin televisyen menerusi jenama Astro Originals, bertajuk "Kampong Pisang Bersiri-Siri".
Menurut Mamat Khalid, siri ini memberikan satu cabaran baharu buat dirinya selaku seorang pengarah.
“Kampong Pisang Bersiri-Siri juga dianggap sebagai satu cabaran baharu buat saya kerana ini merupakan pertama kali saya mengarahkan drama bersiri, namun begitu perlu mengekalkan kualiti dan ‘end result’ setanding filem.
"Untuk itu, teknik teknologi pengimejan telah dilakukan oleh tenaga pakar di Australia dan proses adunan audio dan bunyi pula dilakukan di Thailand," katanya.
Pada masa sama, beliau juga menyatakan bahawa adanya siri ini ibarat menjadikan mimpinya kenyataan untuk menggabungkan kisah-kisah mistik.
"Abang dah lama berangan nak buat cerita-cerita hantu dalam filem tapi nanti banyak pula filem yang abang kena buat.
"Jadi dengan adanya siri ini abang boleh gabungkan semua cerita dalam satu siri," tambahnya.
Masih mengekalkan elemen komedi, siri ini dijayakan oleh Kazar Sairi, Bell Ngasri, Dewa Sapri, Aziz M. Osman, dan Mat London.
Pada masa sama, Datuk Awie, Hazama, Ellie Suriaty, Pekin, Delimawati, Ozlynn, Soffi Jikan, dan Joey Daud juga akan membuat kemunculan khas dalam siri yang mempunyai 12 episod kesemuanya.
Kampong Pisang Bersiri-Siri bakal menemui penonton mulai 7 Disember ini, setiap Isnin, jam 9 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).
#Kampung Pisang Bersiri-siri
#Mamat Khalid
#Datuk Awie
#Astro Originals
#drama bersiri
#Dewa Sapri
#Bell Ngasri
#Kazar Sairi
#Aziz M Osman
#Ellie Suriaty