"Kalau dah tertulis dia memang milik saya"- Adi Putra
Gempak
Januari 20, 2018 12:10 MYT
Januari 20, 2018 12:10 MYT
AKTOR Datuk Adi Putra mengesahkan dia dan bekas isteri, Zuraidah Yusof atau lebih dikenali sebagai Aida sudah kembali bernikah selepas sembilan bulan bercerai.
Perkahwinan mereka berlangsung di sebuah lokasi di Kuala Lumpur pada 18 Januari lalu.
“Kalau dah jodoh tidak ke mana.
“Kalau dah tertulis memang saya milik dia dan dia milik saya, memang kita tidak boleh lari (dari ketentuan Allah).
“Meskipun berpisah sebelum ini namun hubungan kami baik dan tiada sebarang masalah,” kata Adi ketika ditemui pada Malam Gala filem Makrifat Cinta di IDRKL Mall, Shah Alam semalam.
Menurut Adi, banyak pengajaran yang diperolehinya menerusi ujian dan dugaan dalam perkahwinannya.
“Banyak pengajaran boleh diambil iktibar, kalau kita tidak melalui ujian mungkin kita tidak akan menimba ilmu,” katanya lagi.
Sementara itu, Aida mengulas mereka ingin membuka buku baharu dan bersedia melalui kehidupan sebagai suami dan isteri buat kali kedua.
“Kita doakan yang baik-baik sahaja. Perkara yang dah lepas, kita biarkan berlalu pergi.
“Selepas ini kami nak bina hidup baharu,” katanya.
Semalam, Adi memuat naik foto perkahwinan kali kedua mereka di Instagram.
Adi dan Aida bernikah kali pertama pada 14 April 2006.
Pasangan itu kemudian mengambil anak angkat, Zara Adelia yang kini sudah berusia enam tahun.
Adi mencetuskan kontroversi apabila berkahwin dengan seorang penjawat awam, Norshahida Dzolkifly, 34, pada 20 Jun 2016.
Foto: Instagram @adpadiputra
Teks oleh: Syafiqah Jalal