"Kalau boleh saya nak bagi kosong" - Komen Ajai kenapa kedekut markah
Asyraf Roslan
Ogos 17, 2020 12:29 MYT
Ogos 17, 2020 12:29 MYT
Baru sahaja konsert pertama Big Stage berlangsung malam tadi, sudah kedengaran pelbagai komen kurang menyenangkan dalam kalangan netizen.
Tumpuan tentu sekali terarah pada juri pertandingan anjuran Astro iaitu komposer ternama Faizal Maas atau Ajai yang disifatkan banyak pihak sebagai tidak wajar kerana memberikan markah yang sangat rendah.
Ajai dilihat begitu tegas serta langsung tidak bertimbang rasa dalam melakukan penjurian kepada peserta program yang pernah melahirkan bintang seperti Sarah Suhairi dan Han Byul dari Korea.
Ajai yang sekadar memberikan dua markah kepada peserta Hafiz Zainal yang membawakan lagu Fly Me To The Moon nyanyian asal Frank Sinatra mencetuskan perdebatan yang panjang.
Apa yang menyebabkan Ajai bersikap sedemikian? Kenapa komposer dan penyanyi terkenal itu terlalu kedekut markah?
Di sebalik kontroversi itu, Ajai menegaskan, dia bukan sengaja memberikan markah yang rendah kepada Hafiz.
Kata pencipta lagu Kau Kekasihku nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Seandainya Masih Ada Cinta (Dayang Nurfaizah) itu, semasa melakukan penjurian, dia berdepan dengan masalah teknikal dalam sistem penguncian markah.
Dalam berhadapan dengan masalah teknikal itu, Ajai berkata, dia tetap harus memberikan markah terhadap peserta tersebut.
"By right saya nak bagi kosong sebab bagi saya itu adalah ABRSM sebab kalau kita pergi ke ABRSM, salah sedikit, kita out of tune kita dah dikira gagal semua," katanya semasa sidang media Big Stage yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sejurus berakhir konsert mingguan pertama itu.
ABRSM merupakan teori dalam pembelajaran seni muzik yang membantu membina kemahiran seseorang penyanyi dalam disiplin nyanyian.
Dalam masa sama, Ajai berkata, dia dan juri-juri lain turut bertanggungjawab kaedah penjurian yang betul dilalkukan.
Namun begitu, Ajai berkata, setiap komen yang diberikan oleh juri juga bukanlah bertujuan untuk menjatuhkan semangat peserta, sebaliknya, komen yang diberikan adalah untuk membina peserta agar menjadi lebih baik pada masa akan datang.
Penyanyi Dayang Nurfaizah juga turut mengharapkan agar setiap peserta Big Stage kali ini melakukan persembahan dengan penuh rasa dan memperbaiki mutu persembahan pada minggu-minggu akan datang.
Nama Ajai dan Hafiz Zainal trending di media sosial gara-gara pemberian markah yang rendah sehingga mendatangkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penonton.
Big Stage akan bersiaran selama lapan minggu pada setiap hari Ahad, pukul 9 malam di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.