"Kalau betul Aurora trauma dengan saya, kenapa..." - Farid Kamil buntu dengan tuduhan Diana Danielle
Gempak
Mac 29, 2023 16:27 MYT
Mac 29, 2023 16:27 MYT
AKTOR Farid Kamil buntu dengan dakwaan isterinya, Diana Danielle, 32, bahawa dia penyebab anak kedua mereka, Nur Aurora, 8, dikatakan trauma.
Disebabkan itu, Farid memberitahu dia dihalang berjumpa dengan anak-anaknya sehingga lebih 23 hari.
"Saya tidak tahu apa yang Aurora trauma kerana setahu saya hubungan saya dengan anak-anak rapat sebagai ayah dan anak.
“Kalau betul Aurora trauma dengan saya kenapa saya ada gambar mesra bersamanya (seperti tiada masalah).
“Saya pun tak faham kenapa saya tak diberi berjumpa dengan anak saya.
“Saya dihalang berjumpa dengan mereka (kedua-dua anaknya) dan sehingga kini saya pun tak tahu di mana mereka,” katanya kepada Astro Gempak.
Farid ditemui di lokasi penggambaran filem Gold terbitan Astro Shaw dan arahan Adrian Teh di Stadium Malawati, Shah Alam malam tadi.
Farid juga meminta agar pihak media bertanya sendiri kepada Diana untuk penjelasan lebih lanjut mengenai dakwaannya.
"Adakah kerana saya bertanya soalan peribadi yang menyinggung perasaan dia (Diana)? Saya tidak tahu kenapa saya dihalang daripada berjumpa anak-anak dan itu kena tanya Diana," katanya.
Terdahulu, Diana ketika ditemui wartawan di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor pagi semalam mendakwa Aurora berada dalam keadaan trauma apabila ditanya mengenai dakwaan Farid yang sudah 23 hari tidak bertemu anak-anak. Bagaimanapun, Diana enggan menjawab punca anaknya itu trauma.
Sebagai seorang bapa, Farid mengakui amat merindui cahaya matanya itu termasuk anak pertamanya Muhammad, 10 tahun.
"Saya memang rindu pada anak-anak tetapi apa yang saya boleh buat? Hanya kepada Allah, tempat saya mengadu.
"Saya mendapat taufik dan hidayah ketika mengerjakan umrah dan ziarah, baru-baru ini. Dari situ saya dapat meningkatkan tahap kesabaran yang ada pada saya sekarang," katanya.
Farid dan Diana hadir ke mahkamah pagi semalam bagi memaklumkan mengenai pelantikan wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan konflik rumah tangga selepas Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana. -- Gempak