"Kalau berani lemparlah objek ke arah saya" - Adele bidas kelakuan biadap penonton
Agensi
Julai 5, 2023 08:30 MYT
Julai 5, 2023 08:30 MYT
PENYANYI ternama dari Britain, Adele membidas sikap tidak bertanggungjawab segelintir penonton konsert yang gemar melemparkan objek ke arah artis yang mengadakan persembahan di pentas.
Penghibur yang sangat popular dengan lagu Easy On Me itu turut menyifatkan tindakan sedemikian sebagai tidak menghormati dan berbahaya,
Sehubungan itu, dia mencabar individu-individu yang tidak bertanggungjawab itu melakukan hal yang sama kepadanya.
“Saya cabar kamu. Kalau berani lemparlah sesuatu ke arah saya dan saya akan b**** kamu,” kata Adele dalam cabaran yang dibuat secara berseloroh ketika mengadakan persembahan di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS), pada hujung minggu lalu.
Sedutan video rakaman Adele meluahkan kekecewaannya itu kini tular di media sosial.
Namun begitu, amaran tegas disuarakan penyanyi itu sebagai menyatakan keazamannya untuk dirinya dan rakan-rakan artis lain daripada bahaya akibat perlakuan penonton tidak bertanggungjawab.
Kebelakangan ini, beberapa artis popular Hollywood menjadi mangsa dilemparkan objek ketika sedang beraksi di pentas.
Pada Jun lalu, di sebuah pementasan di New York, AS, mata penyanyi Bebe Rexha lebam selepas terkena telefon bimbit yang dilemparkan oleh seorang penonton.
Menurut Polis New York, suspek kejadian itu ialah seorang lelaki berusia 27 tahun yang sememangnya berniat melemparkan telefon bimbit ke arah Rexha.
Suspek itu ditahan dan didakwa di mahkamah.
Sehari selepas kejadian yang menimpa Rexha, Ava Max pula ditampar oleh seorang penonton yang berlari menuju pentas ketika penyanyi terkenal itu sedang mengadakan persembahan..
Dalam kejadian paling terbaharu, penyanyi Kelsea Ballerini turut dilemparkan objek ketika beraksi dalam satu pementasan di Idaho, AS. - Agensi