'Kalau ayah boleh cakap dan berjalan...' Aizat dedah cerita sebenar single baharu untuk PM

Wafa Aula
Jun 29, 2018 06:20 MYT
Aizat mengakui perasaan sedikit berbeza apabila kini bapanya tidak mampu bercakap atau berjalan akibat diserang strok, sekali gus tidak dapat menyaksikan detik bersejarah idolanya itu menjadi Perdana Menteri Malaysia sekali lagi. Foto Instagram
'Hidup bermaruah, bangsanya megah berusaha
mencecah sejarah, menyentuh jutaan manusia'
Siapa sangka bait-bait sajak yang ditulis enam tahun lalu oleh bapa kepada komposer dan penyanyi berbakat besar Aizat Amdan, iaitu Datuk Amdan Mat Din, akan menjadi begitu bermakna hari ini.
Lagu bertajuk Harapan Jadi Nyata itu bercerita tentang perjuangan mencapai impian. Ia diangkat dari puisi bapanya yang didedikasikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Aizat kemudian mencipta melodi untuk menyempurnakan lagu tersebut sebelum mereka bergandingan menyanyikannya kepada Dr Mahathir sempena ulang tahun kelahiran beliau enam tahun lalu.
Kemenangan Dr Mahathir pada pilihan raya umum yang lalu membuatkan Aizat teringat kembali lagu tersebut sebelum memutuskan untuk melancarkan lagu itu semula pada Jumaat.
Namun, Aizat mengakui perasaan sedikit berbeza apabila kini bapanya tidak mampu bercakap atau berjalan akibat diserang strok, sekali gus tidak dapat menyaksikan detik bersejarah idolanya itu menjadi Perdana Menteri Malaysia sekali lagi.
BACA: Surat terbuka Aizat Amdan: 'Saya belum cukup habiskan masa bersama ayah...'
“Saya dan keluarga selalu buat lawak, kalau ayah boleh bercakap dan berjalan. Dia dah berada di sisi Tun sekarang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
“Ia agak sedih sebab keadaan kesihatan membuatkan ayah tidak memahami apa yang berlaku sekarang. Tapi kadang-kadang kalau kita nyanyi atau tunjuk gambar Tun, dia akan menunjukkan reaksi.
“Saya percaya dengan menyanyikan lagu ini, saya telah menyempurnakan impian ayah dan inilah yang diinginkannya,” katanya.
Sebagai anak muda, Aizat bependapat Dr Mahathir adalah sosok yang sangat memberi inspirasi apabila masih terus berjuang walaupun akan mencecah 93 tahun pada 10 Julai ini.
“Saya kagum dengan Tun dan sekarang, banyak orang menganggap 93 tahun adalah 60 tahun yang baharu.
“Tidak ada alasan untuk tidak berjuang hingga ke akhir hayat,” tambahnya.
Aizat turut berharap lagunya itu akan sampai ke pengetahuan Dr Mahathir dan dapat dihayati oleh semua.
Lagu bertajuk Harapan Jadi Nyata itu kini boleh didengari di YouTube dan saluran platform digital seperti Joox, Spotify, Apple music dan KKBox
#Aizat amdan #ayah #Harapan Jadi Nyata #keluarga #Lagu #lagu baru #Malaysia Memilih #Tun M #Tun Mahathir
;