"Kalau arwah ibu masih ada, dia mesti akan ..." - Vanidah Imran
Gempak
Jun 15, 2018 17:44 MYT
Jun 15, 2018 17:44 MYT
AKTRES Vanidah Imran mengakui banyak momen nostalgik bersama arwah ibunya Shariffah Bee Abdul Majid yang pastinya akan sentiasa dikenang-kenang.
Berkongsi isi hati Vanidah yang pertama kali beraya tanpa arwah ibunya, kehilangan itu cukup terasa terutama tibanya Syawal.
"Banyak kenangan sebenarnya... Kalau arwah ibu masih ada, dia mesti akan beli kuih, selagi tak penuh meja tak sah.
"Tapi, tahun ini kami sekadar membeli ikut keperluan sahaja, tak akan penuh meja.
"Itupun harapkan adik ipar sahaja, mungkin enam jenis maksimum," kata Vanidah kepada Gempak.
Vanidah kehilangan ibunya pada Disember tahun lalu akibat komplikasi jantung.
Tambah Vanidah, dia bagaimanapun bersyukur kerana sempat menimba ilmu pelbagai jenis juadah resepi ibunya.
"Selalunya arwah ibu yang akan masak untuk hidangan pagi Syawal. Dulu dia akan suka membebel, nasib baik saya belajar semua benda yang dia ajar.
"Tahun ini hanya saya dan adik ipar yang akan gantikan tugas arwah mak di dapur," katanya.
Setiap tahun kata Vanidah, menu wajib keluarnganya ialah kurma kambing, ketupat, kuah kacang, rendang dan paling istimewa adanya tosai dan putu mayam. - Teks oleh: Amri Hassan