"Kalau aku tiada, kongsilah video aku..." - Pembantu peribadi terkenang kata-kata akhir Lok-U

Farhana Joni
Januari 22, 2020 15:12 MYT
Allahyarham Lok-U menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 10 pagi ini pada usia 46 tahun. - Gambar Facebook FAIZAL UZIR LOK-U
Ayu Sahara tidak pernah menjangka kata-kata yang keluar dari mulut Lok-U mengenai rakaman video Allahyarham bagaikan memberi bayangan yang pemuzik terkenal itu akan pergi buat selama-lamanya.
Berkongsi cerita dengan Astro AWANI, Ayu Sahara yang juga pembantu peribadi Allahyarham Lok-U atau nama sebenarnya Faizal Uzir berkata, kali terakhir mereka berbual pada minggu lalu.
Dalam perbualan itu, dia dan Allahyarham turut membincangkan mengenai projek terbaharu untuk tahun ini.
“Dalam perbualan itu, arwah ada cakap, “Ayu, kawan-kawan kita ramai sudah tiada, kau ada banyak video aku.
"Kalau aku tiada, kaulah harapan untuk kongsi video-video itu kalau ada kawan-kawan rindu, kau kongsilah,” kata Ayu Suhara kembali mengingati perbualan antara dia dengan Allahyarham Lok-U.
BACA:Pemuzik ternama Lok-U meninggal dunia
Lok-U menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 10 pagi ini pada usia 46 tahun.
Allahyarham Lok-U dikatakan sesak nafas di kediamannya di Puncak Jalil, di sini sebaik pulang dari berjogging.
Jenazah Allahyarham Lok-U kini berada di Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Ayu Suhara berkata, jenazah Lok-U akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, Subang Jaya sebelum solat Maghrib hari ini.
Katanya, proses bedah siasat jenazah Allahyarham dijangka selesai pukul 4.30 petang ini.
Sejurus itu, jenazah Lok-U, kata Ayu Suhara, akan dibawa ke Surau Al-Falah, Puncak Jalil, di sini untuk disembahyangkan.
#Faizal Uzir #Lok-U #meninggal dunia #pemuzik
;