Kakak Meghan Markle bidas komen Putera Harry
Pritha Manivannan
Disember 28, 2017 07:24 MYT
Disember 28, 2017 07:24 MYT
SALAH satu kenyataan yang dibuat Putera Harry baru-baru ini kelihatan tidak disenangi kakak kepada tunangnya, Meghan Markle, hinggakan Samantha Markle terpaksa membidasnya di Twitter.
Dalam temu bual bersama BBC, Putera Harry berkongsi pengalaman menyambut perayaan Krismas bersama Meghan dan seluruh kerabat keluarga diraja.
"Dia (Meghan) memang menikmati detik-detik bersama keluarga saya dan mereka gembira dengan kehadirannya (Meghan).
"Kami mempunyai keluarga yang sangat besar. Dia (Meghan) berjaya mengharungi detik bersama keluarga saya dengan baik sekali. Ini boleh diumpamakan sebagai keluarga yang dia tidak pernah miliki," ujar Harry.
Selepas seorang wartawan dari Daily Express London, memuat naik baris terakhir Harry di laman Twitter, Samantha terus memberi respons kepadanya.
Samantha melalui Tweetnya berkata: "Sebenarnya, dia (Meghan) mempunyai keluarga besar yang sentiasa bersamanya. Kehidupan kami sama sahaja seperti orang biasa. Bila ayah dan Doria berpisah, kami buatkan supaya Meghan seperti mempunyai dua rumah. Tiada siapa yang terpisah, cuma dia yang selalu sibuk. Bacalah buku saya, ia dilengkapi fakta dan gambar."
Dalam Tweet seterusnya, Samantha berkata "Keluarga Meg (keluarga kami) lengkap dengan kakak, abang, ibu saudara, bapa saudara, sepupu dan yang mengikat keluarga kami ialah ayah kami yang hebat dan sentiasa berkorban untuk orang lain. Dia (Meghan) memang sentiasa memiliki keluarga ini. Perkahwinan ini sekadar meluaskan apa yang sedia ada."
Sementara itu, Samantha juga dilaporkan bakal menerbitkan buku berjudul "The Diary of Princess Pushy's Sister" di mana beliau melalui Tweet berkata akan menceritakan kehidupan di rumah asal Meghan.