'Kakak dah lalui pelbagai dugaan' - Neelofa ulas dakwaan Noor Nabila fail perceraian

Gempak
Ogos 29, 2019 00:00 MYT
Neelofa (kiri) mengambil pendirian menyokong setiap keputusan yang diambil kakaknya, Noor Nabila (kanan). -Foto Gempak
PENGACARA MeleTOP, Noor Neelofa Mohd Noor mengambil pendirian untuk menyokong setiap keputusan yang diambil oleh kakaknya, Noor Nabila.
Terdahulu, Nabila berkongsi foto dipercayai diambil di kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Duta.
Perkara itu membangkitkan pelbagai spekulasi dan ada yang mendakwa Nabila memfailkan perceraian terhadap suaminya, pelakon Sharnaaz Ahmad.
BACA: Sharnaaz pilih diam diri, enggan ulas isu rumah tangga
“Saya tahu saya orang pertama yang akan ditanya mengenai perkara itu kerana saya duduk serumah dengan mereka.
"Tetapi bila bercakap mengenai soal rumah tangga, tak adil untuk saya mengulas berhubung soal terbabit.
“Saya nak semua orang tahu saya akan menyokong apa sahaja tindakannya, asalkan kakak saya gembira.
“Saya, keluarga dan rakan-rakan sentiasa berada di belakang Nabila dalam apa jua situasi,” katanya kepada Gempak.
Neelofa ditemui di majlis pelancaran serum Advanced Genifique Lancome di Centre Court, Pavilion pada Khamis.
Ditanya mengenai perasaannya ketika ini, Neelofa tidak menafikan Nabila sudah melalui pelbagai dugaan.
“Oh Tuhan, dia telah melalui macam-macam dugaan... Tidak adil untuk saya menghakimi fasa yang sedang dilaluinya ketika ini.
“Apa yang boleh saya cakap, dia seorang yang sangat kuat dan dia berhak untuk mendapatkan yang terbaik dalam perkahwinannya. Insya-Allah, Tuhan akan permudahkan segalanya,” katanya lagi.
Apabila ditanya lebih lanjut mengenai gambar yang dimuat naik kakaknya itu, Neelofa ada jawapan tersendiri.
“Spekulasi yang dibuat oleh netizen adalah suatu perkara normal dan saya tahu Nabila boleh mengendalikannya. Nantikan sajalah," katanya mengakhiri temu bual tersebut.
#Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan #Noor Nabila #Noor Neelofa Mohd Noor #Pengacara MeleTOP #Sharnaaz Ahmad
;