Kak Chah tidak kecil hati tidak disenarai sebagai penulis lirik 'Setia'

Madiha Abdullah
Ogos 17, 2018 08:29 MYT
Habsah Hassan akui tidak tahu menahu namanya tidak dikreditkan sebagai penulis lirik, sehinggalah beberapa tahun lepas. - Foto Astro AWANI
DEMI negara yang tercinta,
Dicurahkan bakti penuh setia,
Demi raja yang disanjung tinggi,
Kesetiaan tak berbelah bahagi ...
Lirik itu tentunya tidak asing di pendengaran rakyat Malaysia, baik generasi lama mahupun baharu. Magisnya tidak pudar walaupun selepas lebih 20 tahun sejak ia pertama kali diperdengarkan.
Tetapi tahukah anda, siapa yang berada di sebalik penghasilan bait-bait lagu berjudul Setia itu?
Dalam satu pertemuan bersama Astro AWANI baru-baru ini, penulis lirik terkemuka, Habsah Hassan, membuka cerita tentang pembabitannya dalam lagu tersebut yang sehingga kini masih relevan dan dimainkan di televisyen serta radio.
Agak terkejut apabila mengetahui beliau juga terbabit dalam pembikinan lirik lagu berkenaan, memandangkan nama beliau tidak disenaraikan sebagai penulis lirik dalam daftar hak cipta Music Authors' Copyright Protection (MACP).
"Saya dihubungi oleh Menteri Penerangan ketika itu, Tan Sri Mohamed Rahmat, yang meminta saya menghasilkan lirik untuk sebuah lagu patriotik.
"Selepas menyerahkan lagu itu kepadanya, saya langsung tidak dimaklumkan tentang apa-apa perkembangan, sehinggalah saya mendengar dan menontonnya di televisyen beberapa bulan kemudian," kata Habsah.
Kata Habsah, ketika itu beliau langsung tidak mengetahui lirik lagu itu telah diubah, memandangkan pada pendengarannya, tiada perubahan yang ketara.
"Tentang lirik yang dikatakan diubah, saya sendiri pun tak perasan. Kalau pun ia diubah, mungkin hanya satu atau dua perkataan," ujarnya sambil memaklumkan beliau tidak dibayar untuk menulis lirik berkenaan.
Ditanya tidakkah beliau terkilan apabila namanya tidak disenarai sebagai penulis lirik, Habsah yang telah menulis lebih 1,000 lirik memberitahu, beliau enggan memperbesarkan isu itu.
"Saya baru tahu yang nama saya tidak disenaraikan sebagai penulis lirik lagu tersebut beberapa tahun lalu. Terkilan itu tidaklah, cuma saya terkejut.
"Mungkin saya kena cari balik salinan asal lirik itu dan lihat jika betul ia telah diubah.
"Saya simpan semua salinan asal lirik yang saya tulis, malah saya sertakan sekali tarikh bila ia ditulis. Tetapi terlalu banyak lirik yang saya sudah tulis, nak cari balik bukan senang.
"Tak mengapalah, saya tidak kecil hati. Saya anggap ia sumbangan kecil saya untuk negara," sambungnya.
Setia yang diterbitkan pada 1987, dicipta oleh Datuk Ahmad Dassilah, dan dinyanyikan oleh Francissca Peter.
#Ahmad Dassilah #Francissca Peter #habsah hassan #Lagu #lagu patriotik #MACP #muzik #Penulis lirik #setia
;