Kaitkan isu dadah, agensi pengurusan Blackpink bakal ambil tindakan tegas

Agensi
April 13, 2023 00:41 MYT
Pihak YG Entertainment sedang memantau dan mengawasi mereka yang membuat dan menyebarkan spekulasi berkenaan.- blackpinkofficial.com
SEOUL: Agensi pengurusan Blackpink, YG Entertainment merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mengaitkan anggota kumpulan itu, Rose, dengan penyalahgunaan dadah.
Memetik portal Soompi, pihak mereka bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang melanggar hak dan privasi artis di bawah pengurusan mereka.
"Kami sedang mengejar tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggar hak dan privasi artis kami," kata YG Entertainment kepada Naver pada Khamis.
Dalam masa sama, pihak YG Entertainment sedang memantau dan mengawasi mereka yang membuat dan menyebarkan spekulasi berkenaan.
“Kami tidak akan duduk diam dan akan bertindak tegas," kata wakil pengurusan.
Desas-desus tersebut bermula selepas bekas ketua pegawai kreatif Burberry, Riccardo Tisci, berkongsi foto ketika kunjungan ke rumah usahawan dan pereka fesyen busana Eva Chow pada 11 April.
Dalam foto itu, netizen memperhatikan Rose dan aktor Kang Dong-won dan mendakwa melihat penampakan serbuk putih yang dilihat seperti dadah.
Selepas perkongsian foto dan dakwaan itu tersebar, gambar itu kemudian dipadam Riccardo.
Sementara itu, BLACKPINK akan melancarkan permainan mudah alih pertama mereka pada tahun ini.
YG Entertainment sebagai agensi mengesahkan rancangan itu dengan mengatakan permainan BLACKPINK The Game akan dilancarkan pada separuh kedua 2023.
#BLACKPINK #Dadah #YG Entertainment #tindakan tegas
;