K-pop: Tiada kompromi buat peminat fanatik, golongan 'sasaeng' - SM Entertainment

Nickyson Nyambar
Julai 17, 2021 19:47 MYT
SM Entertainment mengeluarkan kenyataan bahawa akan mengambil tindakan serius terhadap mana-mana individu yang mencabuli batas peribadi artis rakamannya. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR : MEMPUNYAI peminat fanatik bagi selebriti terkemuka bukan satu perkara yang asing.
Bagaimanapun, sekiranya tindakan peminat itu sehingga mencabul hak peribadi kehidupan selebriti terbabit, ia boleh disifatkan sebagai satu kesalahan.
Bagi syarikat hiburan terkemuka di Korea Selatan, SM Entertainment, tindakan oleh golongan yang digelar 'sasaeng' itu dilihat sebagai satu budaya yang tidak sihat.
Justeru, syarikat itu telah mengeluarkan kenyataan amaran buat mana-mana individu yang mencabuli batas kehidupan selebriti terutama artis di bawah naungannya.
Budaya 'sasaengs' atau dalam erti kata lain adalah merupakan budaya pengikut yang terlampau obses sehingga mencabul batas privasi seseorang selebriti dengan memasuki ruang, mengambil gambar serta menjual sebarang maklumat.
Ini termasuk mengekori idola mereka ke kediaman mereka dan mendapatkan maklumat dengan cara yang salah.
Dalam kenyataan yang baharu dikongsikan itu, SM Entertainment yang mewakili kumpulan K-pop terkenal seperti TVXQ, Girls' Generation, SHINee, EXO, Red Velvet, NCT dan ramai lagi, tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap golongan yang disifatkan 'sasaeng' itu.
"Dengan kerjasama peminat dan pemantauan dalaman, kami sedang memfailkan beberapa dakwaan jenayah melibatkan artis-artis kita yang difitnah dan dihina dengan sebarang bentuk perkongsian maklumat di laman sesawang, media sosial dan komuniti.
"Pencerobohan privasi digelar 'sasaeng' pada artis kita tidak akan dikompromi dan akan ditangani dengan tegas," jelas SM Entertainment dalam kenyataan tersebut.
Ujarnya, tindakan 'sasaeng' ini bukan sahaja boleh memberi kesan kepada kehidupan peribadi selebriti itu sendiri, malah keluarga mereka juga.
"Tindakan mengikuti artis untuk jangka masa panjang seperti ketika mereka sedang berkhidmat dalam tentera, mencari maklumat kediaman, ke tempat letak kenderaan dan sebagainya bukan hanya memberi kesan kepada artis tersebut, malah keluarga, kenalan dan orang terdekat.
"Ini adalah merupakan satu perbuatan salah yang mengganggu privasi artis dan sudah jelas, satu perbuatan jenayah.
"Berdasarkan undang-undang jenayah berkaitan pengintipan dan sebagainya, mereka boleh dikenakan hukuman penjara," katanya dalam kenyataan yang sama.
Ujar syarikat itu lagi, langkah tegas untuk tidak berkompromi dengan tindakan 'sasaeng' itu terpaksa diambil bagi melindungi artis rakaman dan kehidupan mereka.
"'Sasaeng' perlu segera menghentikan segala tindakan melanggar privasi artis dan perlu berhati-hati selepas ini agar tidak mencetuskan sebarang kelemahan akibat langkah yang salah," ujar SM Entertainment lagi.
#SM Entertainment #Privasi artis rakaman #Korea Selatan #hiburan #Sasaeng #K-pop
;