K-Pop: 'Lalisa' pecah rekod jualan, pintas 'The Album' milik Blackpink
Nickyson Nyambar
September 18, 2021 18:56 MYT
September 18, 2021 18:56 MYT
KUALA LUMPUR: Album solo 'Lalisa' yang dikeluarkan oleh penyanyi K-Pop sensasi, Lisa memecah rekod jualan terbanyak dalam minggu pertama sejak ia dilancarkan.
Rekod itu sekali gus memintas rekod yang pernah dicatatkan oleh kumpulannya sendiri, Blackpink iaitu 690,000 unit.
Menurut carta Hanteo, dalam minggu pertama penjualannya yang bermula sejak 10 September sehingga 16 September, album 'Lalisa' berjaya terjual sebanyak 736,221 unit.
Rekod itu adalah merupakan yang tertinggi pernah dicatatkan oleh mana-mana artis wanita di Korea Selatan.
Carta Hanteo dalam masa sama akan menganugerahkan 'sijil emas' kepada Lisa atas pencapaian penjualan album melebihi 500,000 unit.
Ujar carta itu lagi, tiga tangga teratas dalam penjualan tertinggi album buat minggu pertama kini semuanya diduduki oleh anggota Blackpink.
Sebelum ini, YouTube menerusi laporan Manila Bulletin mengesahkan muzik video 'Lalisa' berjaya mengumpul lebih 73.6 juta tontonan dalam masa 24 jam keluarannya.
Ini sekali gus menjadikan 'Lalisa' berada di kedudukan keenam senarai 'Top 10 All-Time Top 24-Hour Music Debuts'.