Jwanita, bila jiwa wanita memberontak

Daily Seni
September 29, 2015 18:50 MYT
Ulasan filem Jwanita lakonan Maya Karin, Bront Palarae yang kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara.
APABILA diberi peluang untuk menyaksikan tayangan pratonton filem terbaru karya Osman Ali, dengan tulus kami pun perturunkan sepatah dua pendapat kami mengenai filem ini. Maaf seperti biasa, atas spoiler yang sedikit sebanyak ada di dalam artikel ini.
JWANITA adalah sebuah karya terbaru yang diperkatakan daripada pengarah Osman Ali. Kali ini beliau kembali mempertaruhkan genre seram.
Jwanita (Maya Karin), gadis yang mengalami masalah mental yang serius angkara kisah silamnya yang sering didera secara mental dan fizikal oleh ibu dan bapa angkatnya, kedua-duanya pengamal ilmu hitam.
Sinar harapan mula muncul dalam hidupnya apabila dia bertemu dengan Farhan (Bront Palarae), doktor yang merawatnya selepas dia membunuh kedua ibu dan bapa angkatnya.
Namun segalanya punah apabila Farhan yang dicintainya rupa-rupanya tunang kepada adik kandungnya, Julaika (Cristina Suzanne), yang ternyata lebih bernasib baik darinya. Selepas menghilangkan diri pada hari perkahwinan Farhan dan Julaika, Jwanita muncul semula. Dia kembali dengan perwatakan yang berbeza, penuh dengan azam dan dendam durjana.
Jwanita diterbit oleh Nuansa Films dan Ehsan Productions dan dibarisi dengan pelakon-pelakon yang telah lama menempa nama dalam industri perfileman negara. Mempertaruhkan Maya sebagai tunjang utama, Jwanita turut membariskan Umie Aida, Marsha Milan, Zarina Zainudin dan ramai lagi.
Pada saya, pertama sekali Jwanita merupakan filem yang mencampur-adukkan dua elemen yang terlalu kacau dan tidak memberi impak yang menyeluruh. Drama di antara tiga watak sudah cukup sebagai pernyataan tentang keadaan mental watak utama, bagaimana keadaan mental disebabkan konflik itu. Aspek ilmu hitam bagi saya hanya tambahan atas nama tarikan pasar, tidak lebih daripada itu.
Sepanjang filem ini berlangsung, persoalan utama yang timbul dari benak saya adalah: dari mana datangnya sosok Kartini (Umie Aida) sebagai pengamal ilmu hitam yang jahat? Kemunculan beliau dan penolongnya terlalu rawak. Jikalau Jwanita diperhatikan sejak dari awal, ianya tidak begitu jelas diceritakan. Jadi kejadian menculik Jwanita sebagai salah satu sebab utama tidak begitu kukuh.
Kedua, kebanyakan masalah yang timbul sepanjang filem ini tidak diselesaikan secara lancar. Permasalahan yang berlaku diburukkan lagi keadaannya kerana tiadanya inisiatif oleh watak-watak yang ada untuk memikirkan mengenai tragedi yang berlaku.
Sebagai contoh, kematian pembantu rumah, Nona (Marsha), tidak langsung diselidik dengan betul. Bayangkan saja, kematian sebegitu rupa di depan mata Julaika dan Farhan dibiarkan begitu sahaja. Apakah dengan keluar meninggalkan rumah buat seketika sudah mampu untuk menyelesaikan peristiwa yang pastinya traumatik buat mana-mana manusia?
Dalam pengamatan saya, jika tragedi sebegitu menimpa keluarga saya, saya tidak akan duduk senang dan ianya merupakan isu yang berterusan bagi saya dan keluarga saya. Kematian sebegitu rupa merupakan sesuatu yang menjangkaui batas rasional saya sebagai seorang manusia. Masakan saya boleh biarkan begitu sahaja dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Kehadiran Jwanita merupakan peristiwa yang terlalu signifikan di dalam hidup mereka. Seharusnya babak perbualan mengenai kehadiran beliau dipanjangkan lagi dan dibincangkan. Bukan dengan sanggahan atas nama ‘kakak kandung’ sahaja.
Ketiga, susunan penceritaan filem ini terlalu mudah dan senang benar untuk dijangka. Lokasi simpan mayat begitu dekat dengan rumah mereka dan sudah tentunya wujud kebarangkalian untuk mereka merasa syakwasangka dengan aktiviti yang dilakukan oleh Jwanita.
Malah babak di mana watak Megat kembali semula ke rumah setelah diberitahu oleh Jwanita supaya jangan kembali lagi merupakan sesuatu yang mudah diagak. Ditambah lagi kerugiannya apabila watak itu tidak langsung berusaha untuk menceritakan tentang pengalaman yang dialaminya itu kepada tuan rumah.
Segala kejadian yang telah berlaku sebelum babak-babak akhir merupakan sesuatu yang sudah cukup untuk mendesak penduduk rumah itu menjauhkan diri daripada Jwanita. Tetapi seperti biasa, hendak dijadikan cerita, kesemuanya tetap pulang ke rumah dan masih lagi ingin berada dekat dengan Jwanita.
Secara keseluruhannya saya merasakan bahawa watak Jwanita berjaya mengangkat wanita sebagai simbol kekuatan yang mengawal penuh kehidupannya. Watak ini pada akhirnya menentukan kekuatannya untuk menguasai apa yang diidamkannya dan melaksanakan dendam terhadap kesemu pembelotnya. Konsep dendam itu tidak dikembangkan dengan lebih mendalam dan tidak dikaitkan dengan kemurniaan hati Jwanita sewaktu kecil. Maka ia tidak memberi justifikasi yang rapi untuk watak utama.
Akan tetapi, akhir kata filem ini tetap berjaya sebagai sebuah filem seram. Segala percubaan untuk menyergah kita yang menonton disertakan kebolehan aspek teknikal yang menjadi. Jadi filem ini secara menyeluruhnya mampu menarik perhatian penonton umum. Kepada sesiapa yang inginkan filem seram, Jwanita tetap filem terbaru untuk penghayatan kalian pencinta wayang.
Filem Jwanita masih ditayangkan di pawagam tempatan seluruh negara.
#Bront Palarae #filem #jwanita #Maya Karin
;