Juwie minta saya jangan tulis belasungkawa mengenainya - rakan wartawan

Azyyati Ahmad
April 4, 2015 16:58 MYT
Allahyarham Juwie dianggap sebagai sahabat sejati, pemurah dan seorang yang suka merendah diri oleh rakan-rakannya.
Wartawan kanan seni hiburan tanah air hadir memenuhi Tanah Perkuburan Selayang Baru pada Sabtu pagi bagi mengiringi pemergian rakan mereka, Allahyarham Abdul Jalil Salleh atau lebih dikenali sebagai Juwie.
Antara yang hadir adalah pengarang portal hiburan mStar Nizam Abdullah atau Niezam Kring-Kring, pengarang majalah URTV Huzaini Kamaludin atau Huzz, serta wartawan veteran Nor Bahyah Mahmood atau Kak Bam.
Kata Nizam ketika ditemui Astro AWANI, pemergian Juwie mengingatkannya kepada amanat terakhir Allahyarham.
Dari kiri Nizam, Huzz dan Kak Bam - Foto Astro AWANI
“Allahyarham ada meninggalkan satu amanat kepada saya semasa hayatnya. Pesan beliau, jika beliau meninggal nanti, beliau tidak mahu saya menulis belasungkawa atau apa-apa tulisan peribadi mengenainya.
“Alasan beliau adalah kerana tidak mahu diagung-agungkan bila sudah tiada kerana sebelum ini katanya, beliau bukan sesiapa.
“Beliau mahu pergi menghadap Ilahi dalam keadaan yang tiada apa-apa. Apa yang beliau harapkan adalah agar rakan-rakannya sentiasa mendoakannya,” cerita Nizam.
Begitu juga dengan Huzz yang turut merasakan perginya insan yang telah bersama-sama berjuang dalam bidang hiburan sejak dari awal lagi amat dirasai.
Jenazah Allahyarham disempurnakan dan disolatkan di Surau Al Tarbiah Darul Falah sekitar jam 10.15 pagi. -Foto Astro AWANI /Shahir Omar
“Kami memulakan kerjaya sebagai wartawan pada waktu yang sama semasa di Utusan. Allahyarham merupakan rakan baik dan juga mentor saya. Beliau seorang yang begitu baik, banyak berkongsi ilmu dan perginya Juwie umpama hilangnya sahabat yang tidak dapat dicari ganti,” kata Huzz dalam nada sebak.
Manakala bagi Kak Bam, antara perkara yang disukai mengenai Allahyarham Juwie adalah sifatnya yang merendah diri dan sangat pemurah.
“Beliau adalah antara orang yang rapat dengan saya. Seorang yang sangat ‘down to earth’ dan sangat pemurah.
Sahabat handai dan saudara mara membantu mengusung jenazah ke tanah perkuburan dari kediaman Allahyarham di Selayang Baru. -Astro AWANI / Shahir Omar
“Semasa menjadi rakan sekerja bersama-sama dengan Allahyarham dulu... Allahyarham akan sentiasa ambil berat bertanya mahu makan apa dan mahu minum apa. Bukan hanya pada saya tetapi pada semua rakan yang lain. Dia sememangnya pemurah begitu. Itu yang membuatkan semua orang menyenanginya,” cerita Kak Bam yang sudah bersahabat dengan Allahyarham hampir dua dekad.
Selain rakan wartawan, penggiat seni seperti Datuk Ahmad Nawab, Erra Fazira, Datin Paduka Umie Aida dan Ziela Jalil turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham di kediaman keluarganya di Selayang Baru.
Jenazah Allahyarham Juwie selamat dikebumikan pada jam 10.30 pagi Sabtu.
Allahyarham Juwie selamat dikebumikan pada jam 10.30 pagi Sabtu di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru. -Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Sebelum itu, jenazah Allahyarham disempurnakan dan disolatkan di Surau Al Tarbiah Darul Falah sekitar jam 10.15 pagi.
Dalam dunia kewartawanan, Allahyarham Juwie pernah bertugas sebagai wartawan hiburan di Berita Harian sebelum menyertai Utusan Melayu.
Di Utusan Melayu, beliau mengendalikan ruangan pojok ‘Auww Juwie’ menerusi sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia.
Ruangan Auww Juwie itu diganti oleh anak didiknya sendiri iaitu Huzz (Sensasi Huzz) dan Nizam (Niezam Kring-Kring).
Allahyarham Juwie selamat dikebumikan pada jam 10.30 pagi Sabtu di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru. -Foto Astro AWANI / Shahir Omar
Daripada seorang wartawan di Utusan, beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarang Muda-Mudi, Penolong Pengarang Mingguan Malaysia dan jawatan terakhirnya sebagai Pengarang Hiburan Majalah Mangga bermula 1995 sebelum bersara pada tahun 2008.
Beliau berjaya menjadikan majalah Mangga sebagai majalah hiburan nombor satu sehingga mencecah jualan 200,000 naskhah pada tahun 1998.
Selain bergelar wartawan, Juwie aktif dalam bidang penulisan lirik. Antara penyanyi terkenal yang menyanyikan karya dan hasil nukilan rasa Juwie termasuklah Datuk Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Siti Fairuz, Nassier Wahab, Shidee, kumpulan Gersang, Spring dan May.
Selepas bersara, Juwie aktif dengan kerja-kerja kemasyarakatan selain banyak menumpukan kepada aktiviti keagamaan.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.41 malam Jumaat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) akibat komplikasi penyakit termasuk kanser prostat.
Allahyarham meninggal dunia pada usia 62 tahun.
#Abdul Jalil Salleh #Huzz #Juwie #Kak Bam #Niezam Kring Kring #wartawan
;