Justin Bieber cabar Tom Cruise tarung MMA, McGregor pula mahu Wahlberg
Hilmi Ismail
Jun 10, 2019 15:43 MYT
Jun 10, 2019 15:43 MYT
BINTANG sensasi dari Canada, Justin Bieber membuat kejutan apabila mencabar pelakon Hollywood terkenal, Tom Cruise untuk bertarung dengannya dalam satu perlawanan seni bela diri campuran (MMA).
Cabaran itu dibuat melalui akuan Twitter miliknya @justinbieber, pada awal pagi Isnin.
Dalam Tweetnya itu, Bieber turut menyebut nama Dana White yang merupakan Presiden UFC.
"Saya ingin mencabar Tom Cruise untuk bertarung di dalam Octagon. Tom, jika anda tidak mahu bertarung, anda takut dan akan menyesal. Siapa yang sanggup anjurkan pertarungan ini? @danawhite?" tulis Bieber di akuan Twitternya.
Namun rata-rata warga Twitter tidak bersetuju dengan idea tersebut.
Ramai yang membangkitkan faktor usia di mana Bieber baru berusia 25 tahun manakala Cruise pula sudah berumur 56 tahun.
Cruise yang dikenali sebagai pelakon yang sering membawa watak hero dalam filem aksi, masih belum memberi sebarang komen tentang cabaran tersebut.
Tambah menarik, bintang MMA dari Ireland Conor McGregor telah menyatakan minatnya untuk menganjurkan pertarungan tersebut jika ia menjadi kenyataan.
Kenyataan itu juga dibuat melalui akuan Twitter miliknya, @TheNotoriousMMA.
"Jika Tom Cruise berani untuk terima cabaran ini, McGregor Sports and Entertainment akan menganjurkan perlawanan ini. Adakah Cruise berani untuk bertarung seperti yang dia lakukan di dalam filem? Tunggu dan lihat," kata McGregor.
Bukan itu sahaja, dalam Tweet yang berasingan, McGregor sempat mencabar seorang lagi pelakon Hollywood iaitu Mark Wahlberg untuk bertarung dengannya.
"Saya mencabar Mark Wahlberg untuk bertarung pada acara yang sama. Ketika Mark Wahlberg masih Marky Mark, saya tetap akan menamparnya dan mengambil semula saham UFC saya," tambah McGregor lagi.
Cabaran McGregor kepada Wahlberg bukanlah perkara baharu. Sebelum ini juga McGregor pernah mencabar Wahlberg untuk bertarung.
Semuanya bermula apabila Wahlberg pada November 2016 pernah menawarkan saham UFC miliknya kepada McGregor. Namun, pada Jun 2018 apabila ditanya semula, Wahlberg menarik balik tawaran tersbut.
Sebagai rekod, Wahlberg adalah antara pemegang saham minoriti dalam syarikat UFC.
Antara selebriti lain yang juga pemegang saham minoriti UFC adalah seperti Conan O'Brien, Ben Affleck, Jimmy Kimmel, LL Cool J, Sylvester Stallone dan Adam Levine.
Adakah anda ingin melihat Bieber bertarung dengan Cruise? Dan McGregor pula berdepan Wahlberg?
#Conor McGregor
#Dana White
#Justin Bieber
#Mark Wahlberg
#McGregor Sports and Entertainment
#Mixed Martial Arts
#MMA
#Octagon
#seni bela diri campuran
#Tom Cruise
#UFC