Justin Bieber alami 'kelumpuhan muka', terpaksa batalkan konsert
Hafizi Rosli
Jun 11, 2022 12:10 MYT
Jun 11, 2022 12:10 MYT
PENYANYI Justin Bieber mendedahkan dia kini mengalami ‘kelumpuhan muka’ disebabkan oleh sindrom Ramsay Hunt.
Dalam satu muat naik video laman akaun Instagramnya, Bieber turut umum akan membatalkan beberapa siri konsert jelajahnya.
Penyanyi yang berusia 28 tahun itu menjelaskan dia dijangkiti sindrom Ramsay Hunt selepas virus merosakkan saraf di bahagian telinganya.
Dia kini dalam jelajah Justice di Amerika Utara dan turut membatalkan persembahan di Toronto, Washington DC dan New York.
Video berdurasi tiga minit itu menunjukkan Bieber tidak dapat mengelipkan mata serta senyum pada sebelah kanan mukanya kerana terdapat kelumpuhan di bahagian wajahnya itu.
Bieber juga meminta peminatnya bersabar dan turut menjelaskan mengenai rancangannya yang akan datang.
Masa yang ada katanya akan digunakan untuk mendapatkan rawatan dan berehat.
Ketika ini, dia juga melakukan senaman muka untuk mengembalikan wajahnya kepada normal, namun tidak mengetahui berapa lama ia akan pulih.