Jurey kenal pasti pemfitnah, akan lapor kepada SPRM

Astro Awani
Oktober 18, 2014 07:43 MYT
Jurey kenal pasti pihak memfitnah, akan lapor kepada SPRM - Gambar fail
Presiden, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli sudah mengenal pasti individu yang memfitnahnya dalam kempen 'Switch Off' 14'.
Dalam catatan terbaharunya di Facebook, Jurey memberitahu, nama individu itu akan didedahkan di dalam sidang media pada 21 Oktober ini.
"Saya akan dedahkan nama pengupah itu dalam PC (sidang media) pada 21 dan seterusnya melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) salah guna kuasa pegawai kerajaan tersebut," katanya.
Status terbaharu Jurey yang menyifatkan sudah sudah mengenal pasti individu yang memfitnahnya dalam kempen 'Switch Off' 14' - Gambar Facebook
Pada Jumaat, Jurey dilaporkan membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi terhadap tiga penulis blog yang mengeluarkan kenyataan fitnah berhubung kempen 'Switch Off' 14' yang bakal diadakan pada 21 Oktober ini.
Jelasnya, tuduhan yang dilemparkan oleh penulis blog itu turut menyentuh perkara yang tidak benar sekali gus menjejaskan kredibilitinya sebagai presiden persatuan seni.
"Saya telah tunjukkan laporan audit tahunan syarikat saya sebagai bukti kebenaran menafikan fitnah dan tuduhan terhadap saya dan syarikat saya," tegasnya.
Sebelum ini, Jurey turut memaklumkan peguamnya akan membuat permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti pemilik blog berkenaan untuk tindakan susulan pihak berkenaan.
Sidang media rasmi kempen "Switch Off'14" akan diadakan pada 21 Oktober di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.
Switch Off’14 adalah kempen yang dianjur wakil penggiat industri televisyen negara yang berhasrat untuk menghantar memorandum kepada kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Memorandum tersebut terkandung 11 perkara yang bertujuan untuk menyampaikan peringatan dan pesanan tegas berkaitan industri perfileman dan televisyen agar diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.
Kempen itu termasuk mengadakan perhimpunan aman pada 11 November depan yang akan disertai penggiat seni yang prihatin terhadap masa depan industri televisyen tempatan.
#Facebook #GAFIM #jurey #memorandum #polis #Switch Off #tempatan
;