Jungkook BTS positif COVID-19 sebaik tiba di Amerika untuk hadiri Grammy
Agensi
Mac 29, 2022 15:26 MYT
Mac 29, 2022 15:26 MYT
ANGGOTA kumpulan BTS dari Korea, Jungkook disahkan dijangkiti wabak COVID-19 sebaik tiba di Amerika Syarikat (AS) bagi menghadiri majlis Anugerah Grammy yang akan berlangsung pada 3 April ini.
Portal-portal berita antarabangsa melaporkan, ujian saringan yang dilakukan artis berkenaan sebelum berlepas ke AS adalah negatif.
Bagaimanapun, Jungkook menyedari terdapat gangguan di tekaknya sebaik tiba di Las Vegas sebelum memutuskan untuk melakukan ujian PCR.
"Ketika sedang menjalani kuarantin kendiri, ujian PCR yang diperoleh pada Isnin mendapati Jungkook positif," kata kenyataan yang dikeluarkan firma pengurusan kerjaya seni BTS, Big Hit Music
Sehubungan itu, Big Hit Music berkata, pada masa ini, Jungkook masih menjalani kuarantin kendiri selain diberi rawatan.
Jungkook juga dilaporkan tidak mempunyai gejala lain selain hanya sakit tekak.
Pada masa ini juga, Big Hit Music akan sentiasa memantau keadaan penyanyi berkenaan.
"Agenda Jungkook di AS akan dibuat dengan menyesuaikan aturan dan panduan semasa dan kami akan terus berkomunikasi dengan pihak penganjur mengenai Jungkook," kata Big Hit Music.
Jungkook merupakan yang pertama dari BTS berlepas ke AS pada Ahad lalu sementara pada hari berikutnya,
RM, Jin, Suga, Jimin dan V pula dilihat berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon untuk mengambil penerbangan menuju negara Uncle Sam itu.
Sementara, seorang lagi anggota BTS, J-Hope pula yang juga positif COVID-19 akan menyertai rakn-rakannya dalam masa terdekat.
BTS dijangka mengadakan persembahan di malam Anugerah Grammy.